ARKIB : 20/10/2006
Kisah Al-Quran (Siri 12)
HAI kaumku, janganlah hendaknya
pertentangan antara aku (dengan kamu) menyebabkan kamu menjadi jahat hingga
kamu ditimpa azab seperti yang menimpa kaum Nuh atau kaum Hud atau kaum Soleh,
sedang kaum Luth tidak (pula) jauh (tempatnya) daripada kamu. (Huud: 89)
Nabi Syuaib adalah seorang
rasul berbangsa Arab yang berasal dari keturunan Nabi Luth. Baginda tinggal di
daerah Maan di pinggir negeri Syam.
Nabi Syuaib diutuskan oleh
Allah s.w.t. kepada penduduk Madyan. Penduduk Madyan terdiri daripada
orang-orang kafir. Mereka menyembah Aikah iaitu sebuah patung yang terletak
di sebuah padang pasir yang hanya ditumbuhi beberapa batang pokok. Perbuatan
mereka itu menyekutukan Allah s.w.t.
Oleh sebab itu, Nabi Syuaib
ditugaskan oleh Allah untuk menyeru penduduk Madyan supaya menyembah-Nya.
Baginda menasihatkan mereka agar meninggalkan amalan yang tidak bermanfaat itu.
Bahkan, ia juga memudaratkan mereka dan merosakkan akidah.
Selain itu, penduduk Madyan
juga tidak berlaku adil dalam perniagaan mereka. Mereka membuat kezaliman
dengan mengurangkan timbangan semasa berurusniaga. Sebagaimana yang diceritakan
dalam al-Quran, Nabi Syuaib menegur mereka supaya berlaku adil dalam urusan
membuat timbangan. Ini kerana, mereka mendapat kekayaan dengan hasil yang tidak
halal.
Nabi Syuaib bimbang
kalau-kalau penduduk Madyan itu akan ditimpa azab daripada Allah s.w.t. atas
perbuatan buruk mereka.
Di samping menasihatkan mereka
supaya berlaku adil, Nabi Syuaib juga sentiasa mengingatkan mereka tentang
hari kebangkitan. Mereka diajar bahawa pada hari kebangkitan kelak, manusia
akan dibangkitkan kembali. Segala perbuatan mereka semasa di dunia akan
dipersoalkan semula sama ada perbuatan itu baik atau buruk.
Nabi Syuaib tidak pernah
berputus asa berdakwah kepada mereka, Sudah banyak kali baginda dicerca, tetapi
baginda tetap sabar dan tidak cepat marah. Segala cacian mereka dibalas dengan
jawapan yang sopan dan lemah lembut oleh Nabi Syuaib.
Walau bagaimanapun, dakwah
baginda masing ditentang hebat oleh penduduk Madyan. Berbagai-bagai ancaman dan
ugutan yang diterima oleh Nabi Syuaib. Tentangan mereka itu akhirnya telah
membawa padah. Allah s.w.t. telah menurunkan azab yang pedih kepada mereka.
* Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx.com.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_09.htm#ixzz4s5H7Rw9l
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment