Ad

Monday, 4 September 2017

Misi penting jumpa Vietnam



 ARKIB : 12/10/2006

KUALA LUMPUR – Perlawanan pembukaan menentang Vietnam bakal menjadi penentu nasib Malaysia pada Kejohanan Bola Sepak Belia Asia di Kolkata, India dari 29 Oktober hingga 12 November ini.

Pertemuan dengan Vietnam merupakan peluang terbaik buat skuad negara untuk mengutip mata penuh memandangkan dua lagi pasukan yang bakal ditemui dalam Kumpulan D, Iraq dan Arab Saudi adalah lawan yang lebih sukar.

Iraq turun sebagai penyandang juara dan juara lima kali, manakala Arab Saudi pula menjuarai kejohanan ini pada 1992 dan 1986, sekali gus meletakkan kedua-dua pasukan sebagai pilihan untuk meraih dua kedudukan terbaik kumpulan.

Bagi Malaysia, kejohanan di India ini hanyalah penampilan pertama mereka pada pusingan akhir selepas gagal melayakkan diri dalam 27 kejohanan sebelumnya.

‘‘Kami mesti mengalahkan Vietnam untuk mencerahkan peluang ke pusingan kedua, jika kalah atau seri dalam aksi pembukaan, ia pasti menjanjikan laluan yang lebih sukar.

‘‘Strategi dua perlawanan berikutnya banyak bergantung kepada hasil pertemuan dengan Vietnam, pasukan yang kami fikirkan mampu ditandingi dan itulah fokus kami,’’ kata jurulatih kebangsaan, K. Rajagopal pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.

Menurut Rajagopal, kekalahan kepada Vietnam adalah perkara pertama yang mahu dielakkan kerana ia tidak ubah seperti menunjuk jalan keluar buat pasukan negara.

Kata Rajagopal lagi, persiapan pasukannya kini sangat baik meskipun beberapa tonggak utama dibelenggu kecederaan, termasuk ketua pasukan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak.

Katanya, skuad bawah 20 tahun negara akan berlepas ke Guangzhou, China untuk menjalani persiapan akhir tanpa lapan tonggak utama yang diketuai oleh Zaquan.

Turut diketepikan daripada pasukan yang akan berlepas pada 14 Oktober ini adalah Mohd. Arif Falie Saidin, Farderin Kadir, Hardy Charles Parsi, Md. Nuraliff Zainal Abidin, Mohd. Farid Ramri, Mohd. Shafiq Jamal serta penjaga gol, Mohd. Bunyamin Omar.

SMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4rhDUegam
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment