ARKIB : 22/10/2006
NICOLE DAVID.
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy
negara, Nicol David (gambar) menghampiri kejuaraan antarabangsa keenamnya tahun
ini apabila melayakkan diri ke perlawanan akhir Terbuka Hong Kong, semalam.
Nicol melebarkan rekod tanpa
kalah kepada 21 perlawanan sejak Mac lalu apabila menundukkan musuh tradisi dan
pilihan ketiga, Rachael Grinham dari Australia 2-9, 9-6, 6-9, 9-5, 9-1.
Kemenangan yang dicatatkan
dalam masa 67 minit itu juga mengukuhkan lagi kedudukan Nicol sebagai pemain
nombor satu dunia menjelang Kejohanan Terbuka Dunia di Belfast, Ireland pada
22-26 November ini.
Pada perlawanan di Pusat Skuasy
Hong Kong semalam, pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 23 tahun itu
dikejutkan dengan kekalahan mudah 2-9 pada set pembukaan sebelum menyamakan
kedudukan 1-1 dengan menang 9-6 di set kedua.
Grinham, pemain nombor tiga
dunia terus memberi tekanan buat jaguh negara itu dengan menang 9-6 pada set
ketiga, sebelum terpaksa akur 5-9 dan 1-9 dalam dua set terakhir.
Ini adalah kemenangan ke-11
yang dicatatkan penyandang juara dunia, Nicol ke atas Grinham daripada 16
pertemuan kedua-dua pemain sejak tahun 2000.
Juara Cabaran Qatar Airways,
Terbuka Malaysia, Terbuka Pulau Pinang, Terbuka Britain dan Asia itu kini akan
menentang pilihan ketujuh, Tania Bailey dari England pada final hari ini.
Bailey mara ke perlawanan akhir
selepas mengetepikan rakan senegara dan pilihan kelima, Vicky Botwright 9-1,
9-7, 9-7.
Rekod pertemuan Nicol-Bailey
berpihak kepada jaguh negara, yang memenangi kesemua tiga perlawanan kedua-dua
pemain, termasuk pada perlawanan terakhir di Terbuka Malaysia, Julai lalu.
Sementara itu, perlawanan akhir
perseorangan lelaki bakal menemukan dua pemain Mesir - pemain nombor satu
dunia, Amr Shabana menentang Ramy Ashour.
Amr dipaksa berhempas pulas
pada perlawanan sengit selama 76 minit sebelum menyingkirkan James Willstrop dari
England 9-11, 11-8, 9-11, 11-6, 11-9.
Ashour pula mencatat kejutan
terbesar apabila menundukkan juara dunia dan pemain nombor dua dunia, David
Palmer dari Australia 7-11, 11-8, 11-8, 11-3.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4s5PmSxVT
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment