Ad

Friday, 1 September 2017

Pendedahan Hodak babit pelatih B-19 negara



Jumaat, 1 September 2017 | 10:48pm
JURULATIH baharu skuad bawah-19 tahun negara (B-19), Bojan Hodak terperanjat apabila mendapati hanya tiga daripada 40 pelatih skuad remaja bola sepak negara itu memahami taktikal asas yang diterapkan sejak dia melatih pasukan bermula dua minggu lalu. - Foto Danial Saad
Pendedahan Hodak babit pelatih B-19 negara
Oleh Ajitpal Singh
ajitpalsingh@nst.com.my       
KUALA LUMPUR: Jurulatih baharu skuad bawah-19 tahun negara (B-19), Bojan Hodak hari ini mendedahkan kebenaran yang menyedihkan mengenai keadaan barisan anak didiknya.

Pengendali dari Croatia itu berkata dia terperanjat apabila mendapati hanya tiga daripada 40 pelatih skuad remaja bola sepak negara itu memahami taktikal asas yang diterapkan sejak dia melatih pasukan bermula dua minggu lalu.

"Ia agak lucu. Saya melakukan beberapa taktikal asas dengan pemain dan apabila saya bertanya adakah pernah membuat latihan ini di kelab, hanya tiga pemain mengangkat tangan.

"Yang lain, semuanya mengaku tidak pernah melakukannya," katanya ketika mendedahkan perkara itu.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkannya... sedikit kecewa atau terkejut, saya pun tidak pasti. Ia amat bagus untuk kita mula fokus kepada kelompok pemain bawah-19 tahun kerana banyak yang perlu dipelajari mereka."

Hodak, yang menandatangani kontrak selama dua tahun, mengambil cabaran untuk membentuk skuad remaja negara selepas duduk berbincang dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Julai lalu.

"Tunku Ismail berkongsi ideanya dan juga menyediakan maklumat mengenai visi jangka panjangnya. Saya segera menerima cabaran ini.

"Dia mahu saya menyediakan pasukan untuk masa depan. Buat masa ini, kebanyakan pemain senior kurang dari segi aspek taktikal dan teknikal.

"Kehadiran saya di sini untuk menyediakan pemain muda dengan kemahiran tertentu untuk memastikan mereka berjaya sehingga peringkat senior."

Ramai yang mempersoalkan sama ada Hodak adalah individu yang tepat untuk tugasan ini tatkala dia tidak pernah membimbing pasukan remaja sebelum ini.

"Saya pernah bekerja dengan pemain muda ketika saya bersama UPB-MyTeam, yang mana saya membawa pasukan Liga Perdana itu ke Liga Super sedekad lalu."

Pengendali berusia 46 tahun itu juga memiliki pengalaman luas di Malaysia termasuk mengendali Kelantan, Johor Darul Ta'zim dan Pulau Pinang tahun lalu.

Untuk pasukan B-19 ini, Hodak akan dibantu oleh Nenad Bacina dan Hairuddin Omar.

Ujian pertamanya adalah saingan Kejuaraan AFF Bawah-18 tahun di Yangon, yang mana Malaysia akan membuka aksi Kumpulan A menentang Laos, Isnin ini.

Pasukan lain di dalam kumpulan itu adalah Thailand, Singapura dan Kemboja
Sumber-Berita Harian online Jumaat, 1 September 2017 | 10:48pm

No comments:

Post a Comment