Ad

Friday, 1 September 2017

Syafaat Rasulullah selamat umat



Syafaat Rasulullah selamat umat
Kongsi artikel                                                     
SYAFAAT bererti memohon pertolongan atau mengharapkan sesuatu yang boleh membantu ketika berada di saat kesukaran seperti di Padang Mahsyar.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW menceritakan, apabila manusia berada dalam keadaan saling bertengkar dan pelbagai rupa di Padang Mahsyar, akhirnya mereka bertanya satu sama lain berapa lamakah mereka akan berada dalam keadaan itu? Masing-masing meluahkan keinginan untuk mencari syafaat yang boleh menyelamatkan mereka ketika itu. Akhirnya mereka memutuskan untuk meminta bantuan daripada Nabi Adam.

Menurut Rasulullah, kelompok manusia yang berani mencari Nabi Adam untuk memohon syafaat adalah dalam kalangan ulama yang hidup selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Kelompok ulama ini akan bergerak mencari Nabi Adam dan apabila bertemu, mereka meminta Baginda memohon kepada Allah SWT supaya mengadili manusia di Padang Mahsyar ketika itu.

Nabi Adam tidak berani berbuat demikian kerana berasa pernah melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Baginda menyuruh mereka meminta pertolongan daripada Nabi Noh.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati di IKIMfm berkongsi riwayat Abi Hamid dalam kitabnya Kashful Ulum Al-Akbar yang menceritakan manusia mula bergerak mencari Nabi Noh selama kira-kira seribu tahun.

Selepas bertemu Nabi Noh, Baginda juga sangat takut kepada Allah SWT kerana kaumnya berpaling daripada ajaran yang dibawanya. Nabi Noh meminta mereka menemui Nabi Ibrahim.

Pencarian manusia di Padang Mahsyar berterusan seribu tahun lagi. Apabila bertemu Nabi Ibrahim, Baginda tidak mampu membantu dan mencadangkan supaya mencari Nabi Musa.

Seribu tahun kemudian mereka bertemu dengannya tetapi Baginda juga tidak dapat berbuat apa-apa dan meminta kelompok manusia itu mencari Nabi Isa.

Selepas seribu tahun dan bertemu Nabi Isa, Baginda juga tidak berani membantu kerana sangat takut dengan kemarahan Allah SWT. Nabi Isa meminta memohon bantuan daripada Nabi Muhammad SAW.

Rupa manusia berbeza-beza

Sepanjang pencarian itu, kelompok manusia berada dalam keadaan rupa yang berbeza-beza. Apabila bertemu Rasulullah SAW, mereka berkata: "Ya Rasulullah, kami sudah lama berada di Padang Mahsyar ini. Tolonglah berdoa dengan menggunakan syafaat yang ada padamu, supaya Allah SWT mempercepatkan pengadilan kita sebelum dihisab di sisi-Nya."

Baginda mula sujud, lalu Allah SWT bertanya kepada malaikat walaupun mengetahui sebabnya kenapa Rasulullah SAW berbuat demikian. Malaikat menjawab: "Ya Allah, sesungguhnya Muhammad itu mengharapkan sesuatu daripada-Mu. Rasulullah SAW bersujud sambil menangis dan merayu: Ya Allah tolonglah lakukan sesuatu untuk mengadili umatku ini." Lalu Allah memerintahkan umat Baginda yang belum dihisab, masuk ke dalam syurga melalui pintu yang terletak di sebelah kanan.

Menurut Rasulullah SAW, mereka yang masuk ke dalam syurga tanpa dihisab dan diazab adalah manusia yang semasa hidupnya dahulu tidak pernah mendapatkan bantuan bomoh atau menjadi bomoh yang mensyirikkan Allah SWT.

Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah: "Siapakah orang yang paling gembira apabila mendapat syafaat daripada kamu pada Hari Kiamat kelak, ya Rasulullah? Baginda menjawab: Wahai Abu Hurairah, aku fikir bahawa tidak ada seorang pun yang akan bertanya kepadaku soalan ini, orang yang paling gembira adalah mereka yang mengucapkan Laila illallah Muhammadur Rasulullah dengan tulus ikhlas daripada hatinya dan berusaha menjauhkan apa yang dilarang oleh Allah SWT."

Qadi bin Iyat berkata, lima syafaat Rasulullah SAW iaitu syafaat umum bagi seluruh umat manusia, syafaat kedua ialah untuk memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa dihisab terlebih dahulu, syafaat ketiga untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa daripada memasuki neraka, syafaat keempat untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa daripada neraka dan syafaat kelima untuk meninggikan darjat penghuni syurga.

Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
Sumber-Berita Harian online Jumaat, 12 Ogos 2016 | 6:39am

No comments:

Post a Comment