Jumaat, 30 Disember 2016 |
12:03am
Oleh Ahmad Shukri Yusoff
PENDETA Yahudi yang menganut
Islam, Abdullah Ibn Salam berkata, "Aku lebih lama mengenali Baginda Nabi
SAW daripada mengenali anakku sendiri. Lalu Umar bertanya kepadanya: Mengapa
Abdullah menjawab: Aku tidak ragu Nabi Muhammad SAW seorang nabi, tetapi anakku,
boleh menyebabkan ibunya menyeleweng." Secara spontan Umar menciumnya.
Demikianlah pengakuan seorang
pendeta Yahudi yang mendapat hidayah Allah SWT dan pengakuan sama daripada
Tamim Al-Darriy, bekas pendeta Kristian.
Sebenarnya orang Yahudi dan
Nasrani mengenali Rasulullah SAW dan kebenaran dibawa Baginda seperti mana
tertulis dalam kitab Taurat dan Injil. Mereka sengaja menyembunyikan kebenaran
ayat yang menceritakan mengenai kemunculan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul
terakhir.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: "Sesungguhnya orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan
Allah dan membunuh nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh
orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang
menggembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya."
(Surah Ali-Imran, ayat 21)
Perbuatan melampau
Abu Al-Abbas bin Al-Mubarrad
berkata, ayat ini mengisahkan mengenai sekumpulan Bani Israel yang membunuh
nabi mereka yang menyeru supaya beriman kepada Allah SWT. Begitu juga apabila
datang sekumpulan orang beriman yang membela kebenaran, mereka turut dibunuh.
Ilmu yang diketahui perlu
disebarkan kepada masyarakat umum apatah lagi ilmu berkaitan kebenaran, tidak
boleh disembunyikan. Sikap Yahudi dan Nasrani menyembunyikan kebenaran berita
kemunculan Nabi Muhammad SAW dan perkara lain yang mereka tahu kebenarannya
adalah perbuatan melampaui batas.
Sebenarnya golongan Yahudi dan
Nasrani mengenali Nabi Muhammad SAW sebelum kehadiran baginda lagi. Allah SWT
telah mengkhabarkan berita kemunculan Nabi Muhammad SAW menerusi wahyu yang
disampaikan kepada Nabi Musa dan Nabi Isa.
Nafikan kebenaran
Golongan itu sengaja
menyembunyikan kebenaran dan akan menafikan kemunculan Nabi Muhammad SAW. Jika
ditanya, mereka mengakui nabi disebutkan dalam kitab mereka, tetapi
menyembunyikan hakikat kebenarannya malah orang Nasrani mengatakan nabi
dijanjikan adalah Isa al-Masih bukan Nabi Muhammad SAW.
Mereka turut membunuh golongan
yang membimbing manusia ke arah kebaikan dan berlaku adil seperti diajarkan
nabi. Orang yang berusaha melaksanakan petunjuk nabi berada di bawah pengaruh
nabi dan mereka turut dibenci golongan Yahudi serta Nasrani.
Kedua-dua golongan itu juga
melancarkan serangan terhadap Nabi Muhammad SAW dan keinginan membunuh Baginda
turut dirasakan kaum musyrik Arab. Perbincangan membunuh Baginda dilakukan
golongan Yahudi yang hidup ketika ayat ini diturunkan.
Berpaling kepada kebenaran
dalam hakikat kehidupan hari ini mungkin berbeza dengan keadaan berlaku pada
zaman nabi tetapi memang ada dalam kalangan umat Islam yang sudah mengetahui
kebenaran dan tetap ingin menyembunyikannya.
Mereka sedar terhadap tuntutan
agama dan hukum ditetapkan syarak namun disebabkan enggan melaksanakan
tanggungjawab sebagai umat Islam atas sebab tertentu, mereka cuba menafikan
kebenaran yang diketahui.
Penulis ialah Perunding
Motivasi Islam Fitrah Power Resources
Sumber-Bertia Harian online Jumaat,
30 Disember 2016 | 12:03am
No comments:
Post a Comment