ARKIB : 30/10/2006
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
NAMA dalam percakapan ialah
Tuan Tabal. Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Abdus Shamad bin Muhammad Shalih
al-Kalantani. Kisah beliau telah diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan
Malaysia, pada 4 Oktober 2004.
Demikian juga anak beliau, Haji
Wan Muhammad Al-Kalantani, Mufti Kelantan yang ke-IV, diperkenalkan dalam
Bahagian Agama, Utusan Malaysia, pada 3 April 2006.
Artikel ini memperkenalkan anak
Tuan Tabal yang bernama Haji Wan Abdullah. Saya segerakan riwayat anak Tuan
Tabal dalam keluaran ini, kerana pada pertengahan Ramadan saya terima panggilan
telefon, disusuli dengan surat tarikh 23 Ramadan 1427 H/18 Oktober 2006 dari
sahabat saya Ustaz Mahmud Abdul (bekas pensyarah di Universiti Kebangsaan
Malaysia) yang minta kehadiran saya dan bahan-bahan pameran pada majlis Hari
Raya Aidilfitri dan Silaturahim Ahli Keluarga Tuan Tabal yang akan diadakan
pada Ahad, 19 November ini di Dewan Muslimat, Masjid Wilayah Persekutuan Jalan
Duta, Kuala Lumpur. Isteri Ustaz Mahmud Abdul sendiri adalah keturunan Tuan
Tabal ulama yang sangat terkenal itu.
Seiringan dengan itu, sempena
hari raya, saya terlebih dahulu mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya
Aidilfitri 1427H kepada pihak Utusan Malaysia, maaf zahir dan batin. Kerjasama
dan jasa Bahagian Agama, Utusan Malaysia, yang menyiarkan artikel ulama-ulama
kita, sangat-sangat disanjung tinggi. Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf
zahir dan batin, saya tujukan juga kepada semua pembaca terutama mereka yang
tekun mengikuti ruangan Ulama Nusantara.
Oleh sebab anak Tuan Tabal yang
bernama Haji Wan Musa (Mufti Kelantan), banyak ditulis orang maka saya ganti
dengan adik beliau, iaitu Haji Wan Abdullah. Sekurang-kurangnya ada dua orang
bernama Haji Wan Abdullah keturunan Tuan Tabal yang hidup sezaman dan sama-sama
berperanan penting dalam perkembangan Islam di Kelantan.
Haji Wan Abdullah yang pertama
ialah anak Tuan Tabal (yang diriwayatkan dalam artikel ini) dan yang seorang
lagi ialah Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Musa, berertilah Haji Wan Abdullah
ini adalah cucu Tuan Tabal.
Haji Wan Abdullah bin Tuan
Tabal lahir pada 1293 H/1877M, wafat Jamadilawal 1345 H/Disember 1926M.
Mendapat pendidikan asas tentang Islam daripada ayahnya sendiri, Tuan Tabal, di
Kota Bharu Kelantan. Wan Abdullah bersama abangnya Wan Musa melanjutkan
pelajarannya ke Mekah. Guru utama bagi kedua adik beradik tersebut, ialah
Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Syeikh
Wan Ali Kutan adalah ayah saudara bagi kedua-duanya, kerana ibu mereka Hajah
Wan Kaltsum, adalah kakak kepada Syeikh Wan Ali Kutan (sila lihat Utusan
Malaysia, 4 Oktober 2004).
Sebagaimana Syeikh Wan Ali
Kutan, demikian juga dengan Tuan Tabal, masih termasuk dalam lingkungan
keluarga besar ulama-ulama Patani yang di dalamnya juga termasuk Syeikh Ahmad
al-Fathani.
Jadi tidaklah menghairankan,
mulai dari Tuan Tabal dan semua anak-anaknya yang belajar di Mekah, sangat
mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani berbanding ulama-ulama lainnya. Dua
perkara memang terjalin sejak lama, iaitu jalinan satu asal usul datuk nenek.
Yang kedua, jalinan keilmuan yang mantap dari keluarga besar tersebut sejak
pertama kedatangan Islam di rantau ini hingga ke zaman mereka yang diriwayatkan
ini. Bahkan tidak dapat dinafikan hingga artikel ini saya tulis, keturunan
mereka masih tetap aktif dalam pelbagai bidang, termasuk masih ramai yang
menjadi ulama.
SUMBER PENYELIDIKAN
Satu-satunya sumber utama untuk
menyusun biodata Nik Wan Abdullah ialah kitab Majmu' Khuthab al-Juma'
al-Malayuwiyah yang disunting oleh Ismail bin Kecik Mahmudi al-Kalantani, yang
diterbitkan oleh The Ikhwan, Kota Bharu, Kelantan dan dicetak oleh Singapura
Jawi Press, Jalan Engku Aman Geylang Road, Singapura, pada 21 Syaaban 1356 H.
Petikan beberapa maklumat
sebagai berikut, ... yang tersunting di dalam risalah ini, hamba guguskan dia
daripada pungutan dan gubahan al-Fadhil Tuan Haji Wan Abdullah bin al-Alim
ar-Rabbani asy-Syeikh Abdus Shamad al-Kalantani. (Majmu' Khuthab, pada kulit
depan).
Diperjelas lagi dengan kalimat,
... yang dipungutkan dia daripada lautan bahasa Arab, kemudian digubahkan dia
kepada kebutan-kebutan bahasa Jawi (Melayu Kelantan) yang sangat munasabah
dengan golongan masanya oleh al-Fadhil Tuan Haji Wan Abdullah bin al-Alim
ar-Rabbani asy-Syeikh Abdus Shamad al-Kalantani. Telah mendiruskan (maksudnya:
menyirami) Allah Taala dengan hujan rahmat-Nya atasnya, lagi reda Allah
kepadanya. Maka berasalah di dalam hati hamba akan bahawa hamba jadikan dia
satu gugusan yang ditentu namanya ... (Majmu' Khuthab, hlm. 6).
Dalam bentuk syair Ismail bin
Kecik Mahmudi al-Kalantani memberi maklumat tentang aktiviti Haji Wan Abdullah
sebagai berikut;
Nama Muallif hamba sebutkan,
Haji Wan Abdullah itu
dimasyhurkan
Di Kota Bharu Kelantan ia
istiqama,
sebelah hilir masjid tahulah ia
Haji Abdus Salam, kampung yang
bernama,
di situlah ia mengajar ugama
Hendaklah ikhwan dia begitu,
setiap Jumaat digilirkan satu.
Daripada beberapa maklumat ada
orang meriwayatkan bahawa Haji Wan Abdullah pernah menjadi khatib di Masjid
Muhammadi sekitar dua tahun, iaitu tahun 1916 - 1918 M. Selain itu beliau
pernah menjadi Ahli Majlis Agama Islam Kelantan. Melalui pelbagai sumber diriwayatkan
bahawa Haji Wan Abdullah adalah seorang ulama yang berpegang kukuh dalam fiqh
Mazhab Syafie, seperti juga abangnya yang sulung, Mufti Haji Wan Muhammad,
tetapi dalam beberapa hal ada sedikit perbezaan dengan Mufti Haji Wan Musa.
Selain ahli dalam fiqh Mazhab
Syafie, beliau juga ahli dalam ilmu usuluddin, mengikut Mazhab Ahli Sunah wal
Jamaah aliran Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Pada
konteks kepelbagaian pemikiran pula Haji Wan Abdullah adalah seorang ulama yang
mendalam tentang falsafah.
Sebagaimana ulama-ulama
tradisional lainnya, Haji Wan Abdullah, mempunyai pengetahuan yang luas dan
mendalam tentang tasawuf. Sekali gus beliau pengamal Tarekat Sufiyah, terutama
Tarekat Ahmadiyah seperti yang diamalkan oleh ayah beliau Tuan Tabal, demikian
kedua-dua abangnya Mufti Haji Wan Muhammad dan Mufti Haji Wan Musa.
Haji Wan Abdullah adalah
pengamal Tarekat Ahmadiyah, sungguhpun beliau lebih muda dari Tok Kenali,
tetapi ketika di Mekah sama-sama belajar kepada ulama-ulama yang telah
disebutkan di atas. Riwayat Tok Kenali saya tulis dalam Utusan Malaysia, 2
Oktober 2006, tetapi ada pembaca kurang puas kerana tarekat yang diamalkan Tok
Kenali tidak saya sebut.
Sebenarnya perkara tersebut
belum perlu saya jawab dalam ruangan ringkas ini, tetapi perlu saya tegaskan
bahawa saya tidak sependapat dengan golongan yang berpandangan bahawa tarekat
adalah ajaran sesat.
Ajaran tarekat mempunyai hujah
yang kuat berdasarkan kepada al-Quran, hadis dan diamalkan oleh para Nabi dan
Rasul, termasuk Nabi Muhammad s.a.w. Ketika sesuatu Tarekat Sufiyah belum
diberi nama pengkhususan, dalam al-Quran dan hadis disebut dengan zikrullah.
Oleh itu, ulama yang beramal
dengan sesuatu tarekat termasuk Haji Wan Abdullah mempunyai pilihan yang tepat,
bukannya bidaah dhalalah seperti yang dituduhkan oleh golongan yang anti-
tarekat.
Penulisan khutbah
Haji Wan Abdullah menghasilkan
penulisan tentang khutbah yang kemudian dikumpulkan oleh Ismail bin Kecik bin
Haji Awang Abu bin Haji Mahmudi al-Kalantani. Himpunan dan suntingan karya Haji
Wan Abdullah yang diusahakan itu diberi judul Majmu' Khuthab al-Juma'
al-Malayuwiyah li Tafhim man La Ya'rif al-'Arabiyah.
Ismail bin Kecik Mahmudi
al-Kalantani selesai menghimpun dan menyunting karya Haji Wan Abdullah yang tersebut
pada hari Ahad, 5 Rabiulakhir 1343 H. Riwayat hidup Ismail bin Kecik Mahmudi
al-Kalantani masih belum diketahui tetapi berdasarkan beberapa kalimatnya dapat
dipastikan bahawa beliau adalah seorang murid yang setia kepada Haji Wan
Abdullah.
Sebelum membicarakan sesuatu
kandungan khutbah Haji Wan Abdullah terlebih dulu membicarakan hukum-hukum yang
tertakluk dalam persekitaran khutbah, syarat-syaratnya dan lain-lain.
Semua yang dibicarakan adalah
sama dengan kebanyakan kitab dalam Mazhab Syafie. Sungguhpun demikian, jika
kita teliti ada perkara yang nadir atau jarang dibicarakan terdapat juga dalam
Majmu' Khuthab al-Juma'. Kenadiran atau perkara yang jarang ditulis oleh orang
lain, lalu ditulis oleh seseorang ulama, di situlah letak nilai ilmu dan seni
seseorang ulama dalam menerapkan pendidikan dan dakwahnya.
Di antara perkara nadir yang
terdapat dalam karya tersebut seperti tulisan beliau: Dan makruh berkata-kata
pada tatkala khatib membaca khutbah pada Mazhab Imam kita Syafie. Ada pun pada
mazhab imam yang lain haram berkata-kata pada ketika itu. (Majmu' Khuthab,
hlm. 14).
Masih dalam kategori perkara
nadir, Haji Wan Abdullah menganjurkan beberapa perkara yang sunat dikerjakan
ketika sewaktu menghadiri ibadah Jumaat, beliau tulis: Dan sunat memakai
serban, kerana hadis bahawasanya Allah s.w.t. dan segala Malaikat-Nya selawat
sekalian atas yang memakai serban hari Jumaat. Dan sunat memakai serban bagi
sekalian sembahyang. Dan tersebut pada hadis satu sembahyang dengan memakai
serban afdal daripada dua puluh lima sembahyang dengan tiada memakai serban ...
(Majmu' Khuthab, hlm. 16).
Judul-judul khutbah yang
terdapat dalam Majmu' Khuthab karya Haji Wan Abdullah di antaranya ada dua
judul membicarakan tentang bulan Ramadhan. Mengenai ini dicatat tarikh selesai
penulisan akhir Ramadan 1338 H/akhir Jun 1919 M. Terdapat satu judul tentang Hari
Raya Aidilfitri. Haji Wan Abdullah memang diketahui umum bahawa beliau adalah
seorang ulama yang sentiasa mengamalkan wirid, tasbih, zikir dan lain-lain,
sehingga dalam khutbah Aidilfitri sempat juga beliau bicarakan perkara itu.
Kata beliau: Tersebut di dalam
hadis, Barang siapa berkata Subhanallah wa bi hamdih pada hari raya, 300 kali,
dan dihadiahkan pahalanya kepada segala orang yang mati daripada segala orang
yang Islam, nescaya masuklah pada tiap-tiap kubur mereka itu 1,000 cahaya. Dan
Allah s.w.t menjadikan orang yang menghadiahnya pada kuburnya 1,000 cahaya,
apabila ia mati. (Majmu' Khuthab, hlm. 83).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4s6GOHJyz
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment