Oleh Azlan Muhammad Zain
Kuala Lumpur: Selain tekanan terarah kepada jentera serangan untuk meledak jaringan penyamaan, Mohd Farizal Harun turut berdepan tugas getir bagi memastikan gawang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak dibolosi LionsXII dalam aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia malam ini.
Ketangkasan penjaga gol berusia 27 tahun itu ditagih Gladiators selepas skuad kendalian B Sathianathan itu tewas 0-1 pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar Sabtu lalu sekali gus memerlukan sekurang-kurangnya kemenangan dua gol tanpa bolos di Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk mara sebagai empat pasukan terakhir.
“Persediaan berjalan seperti biasa namun kami bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menjalani latihan melakukan sepakan penalti. Paling penting tempoh awal perlawanan kerana kami tidak boleh bolos dan perlu untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan bagi membakar semangat pasukan.
“Saya menaruh kepercayaan penuh kepada rakan sepasukan untuk merealisasikan misi ini. Walaupun gawang saya dibolosi setiap perlawanan (Piala Malaysia), saya tetap yakin dengan kemampuan benteng pertahanan kami yang sememangnya dibarisi pemain berpengalaman dan berkaliber,” katanya.
Penjaga gol berkenaan mempunyai kenangan manis menyingkirkan LionsXII pada separuh akhir Piala Malaysia musim lalu ketika penentuan penalti apabila menyelamatkan sepakan Saiful Esah dan Baihakki Khaizan sebelum sepakan Yasir Hanapi sekadar singgah di tiang.
Kekalahan di Stadium Jalan Besar pada Sabtu lalu perlawanan pertama yang menyaksikan ATM gagal meledak jaringan dalam kempen Piala Malaysia musim ini selepas menjaringkan 15 gol dalam enam perlawanan peringkat kumpulan.
Tugas berat pastinya dipikul penyerang import Marlon Alex James yang bakal dibantu kapten pasukan Hairuddin Omar ketika LionsXII dilihat mahu meraih kejuaraan kedua dalam kancah Liga Malaysia selepas menjulang Liga Super.
Barisan kendalian V Sundramoorthy mempamerkan peningkatan mengagumkan dalam baki tiga perlawanan peringkat Kumpulan D untuk muncul naib juara walaupun hampir tersingkir pada awalnya.
“Kami perlu berwaspada bagi memastikan mereka tidak terus melangkah,” tambah Farizal.
HARIAN METRO ONLINE: 2013/10/04
No comments:
Post a Comment