SHAHRIZAL AHMAD ZAINI.
14 Disember 2013
Acer manfaat peluang kedua
Acer (depan,tengah) bersama kesebelasan Perak pada aksi menentang Selangor di
Stadium Shah Alam, 10 Mei lalu.
LANGKAH anak muda
kelahiran Kuala Kangsar, Mohamad Nasir Basharudin menolak tawaran melanjutkan
pengajian di Universiti Samarahan, Sarawak tiga tahun lalu bukanlah keputusan
mudah.
Apa tidaknya pelbagai
persoalan bermain di fikiran namun keputusan diambil tepat apabila Mohamad
Nasir atau lebih mesra dikenali Acer kini terus mencipta nama selaku pemain
bola sepak profesional.
LANGKAH AWAL
Semuanya bermula
pertengahan musim 2012 apabila menerima tawaran menyertai skuad Liga Super
Perak dikendalikan jurulatih berpengalaman, Norizan Bakar.
"Karier bola sepak
saya terbantut seketika pada awal musim 2012 kerana komitmen lain.
Bagaimanapun, dengan izin Allah, saya diberi peluang untuk kembali menyarung
jersi Perak.
“Mungkin di situlah
‘turning point’ saya dan Alhamdulillah berjaya diserapkan kembali ke skuad
utama dan seterusnya masih lagi diberi kepercayaan untuk terus beraksi bagi
musim 2013 ini,” katanya.
DETIK SUKAR
Lulusan STPM dari SMK
Clifford ini juga terpaksa menolak tawaran melanjutkan pengajiannya dalam
jurusan Sains Sukan di Universiti Samarahan Sarawak pada 2010 lalu setelah
dipanggil beraksi bersama skuad Piala Malaysia Perak.
Bagaimanapun, Acer pasti
tidak menyesali keputusannya itu kerana dianggap antara pemain tonggak skuad
Kejor Yob Kejor itu apabila berjaya membentuk gandingan mantap bersama
MSivakumar, , Shahrulnizam Mustapha, M Yoganathan mengemudi bahagian tengah.
TIMBA PENGALAMAN
Bagi musim 2014 kelak,
Acer bakal bergandingan dengan pemain penuh pengalaman, Hadri Jaafar dan juga
pemain import, yang juga kapten skuad bawah 23 tahun Myanmar, Kyaw Zayar Win.
“Saya percaya, musim 2014
bakal lebih mencabar, tambahan pula beraksi bersama dua pemain berpengalaman.
“Pasti menyemarakkan lagi
semangat untuk memberikan aksi terbaik dan seterusnya membantu kejayaan
pasukan,” katanya lagi.
KENANGAN MANIS
Mengimbas penglibatan
awalnya dalam sukan bola sepak, Mohamad Nasir berkata, dirinya mula serius
bermain bola sepak ketika mewakili skuad bawah 19 tahun UPB Myteam dari 2008
hingga 2009 lalu.
Setelah menamatkan
peperiksaan STPM, Acer menyambung karier bola sepaknya bersama skuad Piala
Presiden Perak sehingga 2011 dan seterusnya dinaikkan pangkat menyertai skuad
Liga Super pada 2012 sehinggalah ke hari ini.
“Sepanjang penglibatan
saya dalam sukan bola sepak ini, kejayaan menjuarai Piala Emas Raja-Raja 2012
lalu adalah kenangan manis pernah di kecapi.
“Mungkin ia piala pertama
yang saya menangi bersama Perak selain dinobatkan sebagai Pemain Terbaik
Perlawanan Akhir,” katanya.
RUJUKAN: SINAR HARIAN
ONLINE 14.12.13
No comments:
Post a Comment