YANGON 14 Dis. - Malaysia
mencipta rekod dunia dalam sukan hoki apabila skuad wanita negara membelasah
Kemboja 36-0 pada perlawanan kedua pusingan awal dalam temasya Sukan SEA ke-27
di sini hari ini.
Skuad negara menjaringkan
gol pada setiap purata dua minit dengan 18 gol pada babak pertama dan mengulangi
jaringan sama pada babak kedua pada perlawanan selama 70 minit.
Sebelum ini, rekod
jaringan paling besar dipegang oleh Argentina apabila menumpaskan Peru 26-0
pada Kejohanan Wanita Amerika Selatan di Santiago, Chile, pada 23 Mac 2003.
Semalam, Thailand
menyamakan rekod itu dengan mengalahkan Kemboja 26-0.
Pada perlawanan di Stadium
Hoki Theinphyu di sini, Noor Hasliza Md Ali muncul sebagai penjaring terbanyak
perlawanan dengan enam gol pada minit ke-14, 25, 42, 43, 62 dan minit ke-64.
Fazillah Sylbester Silin
turut menyumbang lima gol pada minit ke-15, 31 35 55 dan 60, Nobaili Hashim empat gol (16, 30, 39, 65), Norazlin
Sumantri empat gol (12, 21, 25, 60).
Kapten pasukan Nadia Abd
Rahman menjaringkan dua gol iaitu pada minit kelima dan 51; Norhidayah Bokhari (21, 28); Rabiatul Adawiyah Mohamed (40, 55).
Lima gol lain
masing-masing menerusi Norashikin Halim pada minit ke-46, Nurul Nabila Mansur
(23),
Raja Norsharina Raja Shabuddin (18), Surizan Awang
Noh (52) dan Siti Nuramira Rohani melabuhkan tirai jaringan pada
minit ke-70.
Pasukan negara turut
menerima satu gol menerusi jaringan sendiri pemain Kemboja.
Jurulatih negara Mohd
Nasihin Nublin Ibrahim berkata kemenangan besar skuad negara itu merupakan satu
kejutan dan pemanas badan sebelum menentang Singapura, Thailand dan Indonesia
pada perlawanan seterusnya.
"Saya tahu skuad akan
menang tetapi tidak menjangka dengan kemenangan sebesar ini...mereka perlu
mengekalkan permainan yang mudah dan pantas pada perlawanan seterusnya
nanti," katanya.
Selepas ini skuad negara,
selaku juara bertahan akan menentang Singapura pada Isnin ini kemudian
Thailand, pada hari berikutnya dan melengkapkan jadual pusingan awal dengan
menentang Indonesia, Khamis ini. - BERNAMA
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131214/su_15/Belasah-Kemboja-36-0-hoki-wanita-cipta-rekod-dunia#ixzz2nSfXWSDr
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment