BARISAN pemain Harimau Muda
melambaikan tangan ke arah penyokong selepas tamat perlawanan menentang
Singapura di Stadium Zeyyer Thiri semalam.
NAY PYI TAW, Myanmar - Harimau
Muda memilih laluan sukar untuk melayakkan diri ke separuh akhir selepas seri
1-1 dengan Singapura pada aksi ketiga Kumpulan A di Stadium Zeyyer Thiri
semalam.
Keputusan seri itu menyebabkan
anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak boleh kalah kepada Vietnam pada aksi
terakhir esok.
Ketika ini, Singapura berjaya
mengumpul lapan mata untuk memimpin kedudukan teratas, manakala Harimau Muda
yang kurang satu perlawanan di tempat kedua dengan tujuh mata.
"Pemain-pemain sudah
bermain bersungguh-sungguh. Meskipun kami gagal mengutip tiga mata penuh, saya
tetap berpuas hati kerana berjaya memperoleh satu mata.
"Kami tidak bermain untuk
seri dan bertahan sepanjang masa tetapi kami tetap melancarkan serangan yang
bertali arus.
"Namun, nasib tidak
menyebelahi kami meskipun kami memperoleh beberapa peluang terbaik untuk
menjaringkan lebih banyak gol.
"Seperti mana yang kita
tahu, Singapura adalah sebuah pasukan yang kuat terutamanya ketika dalam
situasi bola mati. Mereka berjaya mendapatkan sepakan percuma dan situasi itu
yang menyebabkan kami kehilangan dua mata," kata Kim Swee.
Kim Swee berkata, beliau akan
memikirkan strategi yang lebih ampuh untuk menghadapi perlawanan hidup mati
menentang Vietnam.
Pada aksi semalam, kedua-dua
pasukan menampilkan corak permainan yang agak keras dan saling melancarkan
serangan balas yang pantas dalam usaha memburu gol.
Empat kad kuning dilayangkan
kepada pemain Harimau Muda iaitu Mohd. Zubir Mohd. Azmi, Shahrul Mohd. Saad, K.
Reuben dan Mohd. Nasir Basharudin manakala satu kepada pemain Singapura,
Muhammad Afiq Yunos.
Afiq menyumbat masuk gol pertama
Singapura pada minit ke-60.
Tersentak dengan jaringan itu,
Kim Swee melakukan pertukaran strategi dengan mengeluarkan penyerang, Ahmad
Hazwan Bakri untuk digantikan dengan Mohd. Rozaimi Ab. Rahman pada minit ke-67.
Empat minit kemudian, pemain sayap
kanan, A. Thamil Arasu pula dikeluarkan bagi memberi peluang kepada arkitek
muda, Muhammad Nazmi Faiz Mansor.
Rozaimi membuktikan
kehebatannya apabila meledak gol penyamaan menerusi satu sepakan percuma yang
cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-90.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan
A, Vietnam membelasah Laos 5-0.
RUJUKAN : KOSMO ONLINE 16.12.13
No comments:
Post a Comment