WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Disember 2013
Khairy puji sikap Annuar
Khairy (kanan) dan Annuar (tengah) hadir menyaksikan perlawanan sepak takraw
Sukan Sea antara pasukan Malaysia dan Thailand , kelmarin. Turut kelihatan,
Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong.
KEPUTUSAN Tan Sri Annuar
Musa untuk melepaskan semua jawatannya dalam persatuan bola sepak agar hubungan
antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) tidak bertambah keruh mendapat reaksi positif daripada menterinya, Khairy
Jamaluddin.
Menurutnya, keputusan yang
dibuat Annuar wajar dipuji kerana beliau lebih mementingkan pembangunan bola
sepak itu sendiri berbanding dirinya hanya sebagai seorang individu.
Bagaimanapun katanya,
beliau berharap selepas ini FAM tidak lagi akan memberi pelbagai alasan untuk
tidak menyertai Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara (JKPBK)
memandangkan Annuar telah mengorbankan diri demi memastikan kerjasama antara
KBS dan FAM terjalin.
"Bagi saya, keputusan
Annuar membuktikan bahawa beliau adalah seorang aktivis bola sepak yang berjiwa
besar, yang sanggup mengorbankan dirinya demi masa depan bola sepak negara.
"Sikap ini harus kita
puji kerana tidak ramai yang sanggup buat perkara yang sama. Jadi, dengan
penjelasan di atas, dan keengganan FAM untuk menyertai JKPBK selagi Annuar
menjadi ahli, saya anggap keputusan TSAM boleh menyelesaikan kemelut ini.
Sekarang FAM tidak lagi ada alasan untuk tidak menyertai JKPBK," katanya
yang dipetik di laman Facebook semalam.
Semalam, Annuar membuat
keputusan mengejut dengan melepaskan semua jawatan dalam persatuan bola sepak
termasuk jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkuat kuasa
serta-merta.
Dalam pada itu, Khairy
berkata, meskipun Annuar akan melepaskan kesemua jawatannya namun beliau masih
mengharapkan supremo bola sepak Kelantan itu memberi pandangan serta input
kepada KBS kerana sumbangannya masih diperlukan.
"Secara peribadi saya
kecewa kerana tidak dapat sumbangan dan nasihat dari seorang tokoh sukan yang
saya hormati yang pernah juga menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan.
"Saya harap Annuar
akan terus memberi pandangan dan input secara tidak rasmi kerana sumbangan
beliau masih diperlukan oleh bola sepak negara," katanya.
RUJUKAN: SINAR HARIAN ONLINE
14.12.13
No comments:
Post a Comment