“Allah hendak tunjuk dengan kuasaNya dan enjin berjaya dihidupkan"-Komando
MELAKA: Seorang daripada 13 komando menceritakan bahawa mereka bergilir berendam dalam laut dan berpaut pada bot sebelum enjin dapat dihidupkan.
“Hanya lima orang berada dalam bot pada satu-satu masa manakala yang lain berpaut pada badan bot bagi mengelak terbalik semula.
“Kami bertukar kedudukan untuk menyimpan tenaga. Pelbagai usaha dilakukan dan menggunakan segala ilmu dan kemahiran dipelajari ketika kursus selain ditambah dengan pengalaman dan kepakaran jurulatih.
“Akhirnya, enjin bot berjaya dihidupkan dan kami kemudian terus bergerak ke pantai,” katanya ketika ketika ditemui di Hospital Kem Terendak, hari ini.
BOT jenis Assault dinaiki 11 pelatih komando dan dua jurulatih yang dipukul ribut dan ombak ketika menyertai latihan mendayung dari pantai Kem Sungai Udang ke Pulau Nangka, malam Sabtu lalu. FOTO Mohd Khairul Helmi
Mereka yang mendapat rawatan di hospital itu menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Rakannya pula berkata: “Selepas bot dapat dibetulkan, kami cuba untuk membaiki enjin pada sebelah malam dan siang. Tapi, gagal. Kami kemudian guna pelbagai peralatan termasuk bekas makanan dan dayung buatan sendiri.
“Kami juga membuat layar dengan harapan dapat ke pesisir pantai tetapi angin dan ombak membawa bot hanyut ke tengah laut hingga hampir memasuki perairan antarabangsa.
“Jurulatih pula sentiasa memberikan semangat supaya tidak berputus asa. Jurulatih mengarahkan kami supaya tidak berpecah.
“Selepas beberapa jam mendayung, jurulatih kemudian berusaha sekali lagi membaiki enjin iaitu cubaan ketiga dengan memasukkan minyak senjata dalam enjin.
“Allah hendak tunjuk dengan kuasaNya dan enjin berjaya dihidupkan kira-kira 6 petang dan kami pun bergerak ke arah pantai berpandukan pergerakan kapal dagang di perairan antarabangsa,” katanya.
Seorang lagi mangsa berusia 20-an berkata, mereka bertolak dari pantai Kem Sungai Udang pada petang Sabtu lalu, dijadualkan tiba di Pulau Nangka, kira-kira jam 5 pagi.
“Namun kira-kira jam 10 malam yang bot dinaiki terbalik dan disebabkan laut bergelora dan ombak kuat,” katanya.
Mereka adalah antara 13 anggota tentera berusia 19 hingga 23 tahun terdiri 11 pelatih komando serta dua jurulatih mereka yang dilaporkan hilang selepas bot jenis Assault yang mereka naiki dipukul ribut dan ombak ketika menyertai latihan mendayung dari pantai Kem Sungai Udang ke Pulau Nangka, malam Sabtu lalu.
Kehilangan kumpulan itu disedari 32 anggota dan seorang pegawai yang turut sama menyertai latihan berkenaan menggunakan empat bot berlainan selepas mereka berjaya mendarat di Pulau Upeh, kira-kira jam 12.30 tengah malam hari kejadian.
Bagaimanapun, selepas 28 jam hanyut di perairan Selat Melaka, semua mangsa berjaya tiba di pesisir pantai berhampiran Jeti Tanjung Beruas, Pantai Puteri di sini, kira-kira jam 12.50 tengah malam tadi.
SUMBER-Harian Metro ONLINE
No comments:
Post a Comment