WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Disember 2013
Muizzuddin Musyaffa Abdul Gafar
Muizz dengan dua trofi utama dimenanginya musim ini.
TAHUN 2013 boleh dianggap musim
cemerlang bagi pelumba go-kart muda negara, Muizzuddin Musyaffa Abdul Gafar
apabila mencatat beberapa kejayaan di Eropah.
Lebih mesra dengan panggilan
Muizz, pelumba berusia 11 tahun itu berjaya mencipta nama di Itali selepas
menyertai siri perlumbaan go-kart di sana.
Sebenarnya, nama Muizz tidak
asing di negara berkenaan kerana telah menjalani musim penuh CSAI Italian Karting
Championship kategori Mini 60 (bawah 13 tahun).
Tanpa dibiayai penaja, Muizz
masih mampu menampilkan pemanduan cemerlang apabila muncul pelumba terbaik di
perlumbaan Italia CIK 2013 pada Oktober di Pavia (tempat pertama) dan WSK Euro
Series 2013 di Muro Leccese pada Mac (tempat kedua) serta WSK Master Series
2013 di Precenicco (tempat ketiga).
"Secara keseluruhan, saya
menyertai 16 perlumbaan di Itali tahun ini. Saya agak berpuas hati dengan
prestasi sendiri dan beberapa kali muncul dalam kelompok terbaik.
"Alhamdulillah, tahun ini
saya berjaya menaiki podium sebanyak tiga kali dan ia bukannya mudah kerana
terpaksa bersaing dengan pelumba yang lebih berpengalaman selain terpaksa
memandu dalam keadaan cuaca tidak menentu.
"Perbezaan bahasa juga
kadang-kadang menimbulkan masalah tapi ia sedikit pun tidak mengganggu tumpuan
saya ketika berlumba," katanya.
Selain perlumbaan di Itali,
Muizz yang menetap sementara di Sicily bersama ibunya, Siti Rohanah Hussein
turut melakar kejayaan di Amerika Syarikat.
Pada perlumbaan Skusa
Supernationals di Las Vegas, Muizz menamatkan saingan di podium kedua.
"Tahun hadapan bermula
Februari hingga November saya akan menyertai siri perlumbaan WSK di La Conca,
Itali dan saya berharap dapat mencipta lebih banyak kemenangan," katanya
yang beraksi buat pasukan Gamoto Racing Team, musim ini.
RUJUKAN: SINAR HARIAN ONLINE
25.12.13
No comments:
Post a Comment