Sekumpulan pengganas
komunis berkumpul di dalam hutan menerima arahan daripada ketua mereka.
RANCANGAN Briggs yang
diperkenalkan oleh penjajah British pada Jun 1950 benar-benar memberi tamparan
hebat kepada gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menakluk Tanah Melayu.
Pengunduran Setiausaha
Agung PKM, Chin Peng dan kumpulannya pada Julai 1953 dari hutan tebal di Pahang
menuju ke selatan Thailand melalui Kelantan merupakan kejayaan besar Rancangan
Briggs dan kegagalan besar PKM dalam perjuangan bersenjatanya.
Beberapa orang anggota
Jawatankuasa Pusat PKM turut berundur ke selatan Thailand bersama-sama Chin
Peng.
Pengunduran Chin Peng dan
kumpulannya itu merupakan isyarat jelas kekalahan teruk PKM daripada segi
ketenteraan, sejak PKM melancarkan perjuangan bersenjata pada 1948.
Akibat kekalahan daripada
segi ketenteraan itu, PKM dalam arahan terbarunya pada lewat 1951 terpaksa
mengubah strategi perjuangannya termasuk membentuk platun-platun yang lebih kecil
dan berundur lebih jauh ke dalam hutan belantara bagi mengelak dikesan pasukan
keselamatan.
Usaha PKM untuk menawan
hati penduduk Orang Asli yang tinggal di dalam hutan di bawah program ASAL
turut terjejas apabila pasukan keselamatan bertindak membina kubu-kubu di dalam
hutan berhampiran kawasan kediaman Orang Asli.
Ini sekali gus memberi
tekanan lebih hebat kepada PKM untuk mendapatkan sokongan Orang Asli dan juga
mendapatkan bekalan makanan.
Tekanan demi tekanan yang
dihadapi PKM dan kekalahan besar yang dihadapi mendorong PKM membuat persediaan
untuk memanjangkan tempoh perang bagi membolehkan mereka berundur ke selatan
Thailand dan beberapa kader kanan PKM seperti anggota Jawatankuasa Pusat parti
itu, Ah Su telah dihantar untuk membuka pangkalan di Betong.
Ini disahkan oleh Chong
Chor dalam laporan sulit yang mendedahkan bahawa dia terpaksa berada di dalam
hutan dalam tempoh yang lama sehingga September 1955 untuk berlindung daripada
pasukan keselamatan.
Pada masa yang sama
kumpulan Min Yuen yang ditubuhkan PKM turut menghadapi kesukaran mendapatkan
bekalan makanan. Tanaman sayur-sayuran yang diusahakan oleh Min Yuen di dalam
hutan dimusnahkan oleh pasukan keselamatan.
Kem-kem Min Yuen yang
dibina di dalam hutan sering diserang pasukan keselamatan hingga mendorong
mereka untuk berundur lebih jauh ke dalam hutan tebal.
Menjelang 1953 hingga
1955, hampir separuh kekuatan PKM yang dibina semasa Darurat berjaya dibunuh
dengan hanya tinggal kira-kira 100 orang pengganas komunis dan selebihnya
ditahan atau menyerah diri.
Selain mengetuai Unit
Penggempur, Chong Chor turut diberi tugas mengetuai unit akhbar PKM Perak pada
akhir 1953, ketika beroperasi di Pusing, Perak.
Dia bertanggungjawab
mengendalikan penerbitan bahasa Cina. Selain mencetak bahan-bahan Hsueh Hsih.
Unit akhbar itu turut menerbitkan Berita-berita Kemanusiaan, Berita-berita
Semasa dan Berita-berita Lenin.
Beberapa orang pengganas
komunis yang ditugaskan dengan Seksyen Percetakan Akhbar PKM Perak ini membina
kem-kem mereka di beberapa lokasi di kawasan Rimba Panjang dan kawasan Sungai
Bekor, barat Manong.
Chong Chor turut mengakui
bagi memanjangkan tempoh perang dengan pasukan keselamatan mereka melaksanakan
strategi berdasarkan konsep Mao Tze-Tung.
Serangan berterusan
pasukan keselamatan ke atas kem-kem dan kubu-kubu komunis di Perak berjaya
menumpaskan gerakan komunis di negeri itu sehingga Perak diisytiharkan kawasan
putih pada 1959.
Ketika berdepan kekalahan
teruk itulah, PKM pada 28 Disember 1955 bersetuju mengadakan rundingan damai
dengan Kerajaan Perikatan di Baling dalam usaha untuk menamatkan perang.
Chong Chor mengakui
walaupun rundingan Baling gagal, PKM telah lama mengalami kekalahan teruk dalam
perang bersenjata.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131212/re_08/PKM-mengaku-alami-kekalahan-teruk#ixzz2nCACQovu
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment