Ad

Saturday, 14 December 2013

Semangat belum kendur, misi pahat sejarah diteruskan hari ini


 Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Walaupun kempunan untuk melangkah ke perlawanan akhir, namun skuad hoki negara masih mempunyai misi besar untuk dilaksanakan hari ini iaitu mencari podium pertama mereka dalam sejarah penyertaan Piala Dunia Remaja.

Selepas dikecewakan oleh Perancis menerusi penentuan pukulan penalti pada separuh akhir kelmarin, anak-anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah turun ke Stadium Nasional Major Dhyan Chand, New Delhi hari ini untuk berdepan Belanda bersama misi mencari keputusan terbaik.

Legenda hoki negara, Nur Saiful Zaini Nasiruddin percaya, Malaysia masih mampu pulang dengan bangga dan melakar sejarah menaiki podium buat kali pertama sekiranya pemain mempunyai keinginan tinggi untuk mencipta kejutan ke atas gergasi Eropah itu.

Tambah bekas pemain kebangsaan itu lagi, pasukan negara juga harus berusaha mendapatkan lebih banyak pukulan sudut penalti kerana ia adalah sebahagian cara untuk menundukkan pasukan dari Eropah.

"Mereka perlu turun beraksi dengan semangat sebagai juara dan sekiranya berjaya mendapat tempat ketiga ia umpama kejayaan memenangi Piala Dunia Remaja.

"Bagi saya semua pemain perlu buang rasa gentar terhadap lawan yang bakal ditentang, selain fokus untuk mendapatkan kemenangan," katanya.

Perlawanan hari ini juga adalah medan terbaik buat skuad remaja membuktikan keupayaan mereka untuk melakar sejarah biarpun terlepas untuk mencipta kejutan terbesar melangkah ke final.

Malah katanya, biar apa pun yang berlaku kepada anak-anak buah Dharma Raj hari ini, mereka tetap tidak mengecewakan kerana menjadi wakil tunggal Asia yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik dunia.

Pencapaian terbaik Malaysia pada Piala Dunia Remaja sebelum ialah meraih tempat keempat pada 1982 dan 1979.

Sementara itu, seorang lagi legenda hoki negara, Mohamad Abdul Hadi berkata, Malaysia perlu berwaspada dengan hantaran-hantaran pendek pasukan Eropah yang mampu menjadi ancaman buat mereka untuk dinobat sebagai pasukan tangga ketiga terbaik.

"Pasukan dari Eropah biasanya gemar melakukan banyak hantaran yang mampu membuatkan pasukan lawan cepat letih kerana mengejar bola. Saya lihat Malaysia ada keupayaan sendiri dalam aksi menentang pasukan dari Eropah dan paling penting jangan mudah terlalu selesa dengan apa yang diraih," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131215/su_06/Semangat-belum-kendur-misi-pahat-sejarah-diteruskan-hari-ini#ixzz2nVOGjvu0

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment