Oleh ABDUL
HAFIZ AHMAD-hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Kegagalan Harimau Muda mempertahankan
gelaran Sukan SEA, malah kempunan sebarang pingat di Nay Pyi Taw, kelmarin,
bagaikan tidak berbaloi dengan segala pelaburan mahal dan persediaan rapi yang
diatur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) buat mereka.
Dua bekas jurulatih negara, B. Sathianathan dan Wan Jamak
Wan Hassan turut meragui soal konsistensi anak buah Datuk Ong Kim Swee sekali
gus membuktikan Malaysia belum boleh mendabik dada merekalah raja bola sepak
Asia Tenggara seperti Sukan SEA Laos 2009 dan Indonesia 2011.
"Saya lihat empat pasukan separuh akhir Sukan SEA
kali ini setaraf, tetapi pasukan kita pula yang tidak konsisten dan tuah tidak
menyebelahi kita (kalah penalti 3-4 dengan Indonesia di separuh akhir). Saya
'keberatan' untuk katakan kita raja Asia Tenggara selagi tidak konsisten
pertahankan pingat emas.
"Bagi saya jika hadir sebagai juara bertahan tetapi
akhirnya, pulang tanpa pingat itu satu kegagalan," kata Sathianathan,
jurulatih Angkatan Tentera kepada Utusan Malaysia ketika diminta
mengulas pencapaian tempat keempat Harimau Muda selepas tunduk 2-1 kepada
Singapura pada penentuan gangsa, kelmarin.
Wan Jamak, yang kini merupakan jurulatih PKNS dan bekas
pengendali Malaysia dari 1996 hingga 1997, turut sependapat dengan rakan sejawatannya
berhubung tuah yang menafikan kemaraan barisan muda negara, Khamis lalu sekali
gus kempunan walau sebutir gangsa pun sebagai sagu hati temasya ke-27 itu.
"Dengan persediaan mereka ke Sukan SEA yang memang
hebat sebelumnya (dihantar bagi siri persahabatan di Slovakia, Mac hingga Julai
lalu) dan juara Pestabola Merdeka, September lalu, sepatutnya pencapaian di Nay
Pyi Taw itu juga lebih baik (daripada tempat keempat).
"Malah jika kegagalan itu dikaitkan dengan faktor
kehilangan ramai tonggak (antaranya Gary Steven Robbat, Syahrul Azwari Ibrahim,
Wan Zack Haikal Wan Nor, Junior Eldstal dan Wan Zaharulnizam Zakaria), alasan
tersebut bukanlah sesuatu yang baik," kata anggota skuad yang layak ke
Sukan Olimpik Moscow 1980 itu.
Sathianathan dan Wan Jamak seterusnya menyarankan supaya
lebih banyak usaha dilipatgandakan oleh skuad bawah 23 tahun itu selepas ini
terutamanya bagi menghadapi Sukan Asia Incheon, September tahun depan yang
tahap persaingannya jauh lebih tinggi.
Temasya itu turut membenarkan khidmat tiga pemain lebih
umur, namun Kim Swee perlu mencapai tanda aras pencapaian baharu selepas Datuk
K. Rajagobal membawa anak buahnya dari tempat ketiga Kumpulan A ke pusingan
kedua Sukan Asia Guangzhou 2010 sebelum ditewaskan Iran 3-1.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131223/su_02/Tempat-keempat-tidak-berbaloi#ixzz2oFWBgqGf
© Utusan Melayu (M) Bhd
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131223/su_02/Tempat-keempat-tidak-berbaloi#ixzz2oFWBgqGf
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment