ARKIB : 26/10/2006
KUALA LUMPUR Ratu skuasy
negara, Nicol David menjadi pemain yang paling ingin dielakkan oleh semua lawan
apabila turun mempertahankan kejuaraan dunia di Belfast, 20-26 November ini.
Nicol, 23, muncul pemain paling
digeruni ketika ini selepas berjaya melebarkan rekod 22 perlawanan tanpa kalah
ketika menjuarai Terbuka Hong Kong, minggu lalu.
Kemenangan tersebut meletakkan
pemain nombor satu dunia itu sebagai pilihan utama di kejohanan wanita Terbuka
Dunia dan dijangka menerima undian selesa apabila ia diumumkan esok.
Malah, kemenangan di Hong Kong
itu juga merupakan kejuaraan antarabangsa keenam Nicol tahun ini, selepas
Kejohanan Asia, Cabaran Qatar Airways, Terbuka Malaysia, Terbuka Pulau Pinang
dan Terbuka Britain.
Saya harap tidak akan
dipertemukan dengan Nicol pada peringkat awal apabila undian dibuat nanti, jika
ia berlaku, sudah tentu saya berada dalam masalah besar.
Nicol kini berada di kemuncak
prestasinya. Berjaya memenangi 22 perlawanan tanpa kalah sudah cukup untuk
memberi amaran buat semua pencabarnya di Terbuka Dunia nanti.
Sudah tentu saya mahu
mencatat keputusan yang lebih baik berbanding tahun lalu kerana akan beraksi di
depan penyokong sendiri kali ini, tetapi undian juga banyak memainkan peranan,
kata pemain Ireland Utara, Madeline Perry, semalam.
Beraksi di negara sendiri,
Perry, yang diletak sebagai pilihan kelapan berharap untuk layak
sekurang-kurangnya ke separuh akhir selepas terkandas pada suku akhir.
Pada kejohanan di Hong Kong
tahun lalu, dia berjaya mara suku akhir sebelum tewas 4-9, 4-9, 8-10 kepada
pemain nombor satu dunia ketika itu, Rachael Grinham dari Australia.
Perry, 29, berkata, dia memilih
Nicol sebagai pilihan utama untuk mempertahankan gelaran di Belfast,
berdasarkan prestasi menakjubkan yang dipamerkan pemain itu sejak Mac lalu.
Bagaimanapun, katanya, pemain
adik-beradik Australia, Rachael dan Natalie Grinham juga mampu menjadi pencabar
utama, selain bekas juara dunia, Vanessa Atkinson dari Belanda.
Atkinson diletak sebagai
pilihan kedua kejohanan, diikuti Rachael dan Natalie.Tiga pemain England, Vicky
Botwright, Jenny Duncalf dan Tania Bailey masing-masing pilihan kelima, keenam
dan ketujuh.
Kejohanan Wanita Terbuka Dunia
2006 yang masuk edisi ke-27 menawarkan hadiah kemenangan paling lumayan 61,000
pound (RM281,969).
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4s5lQm1sx
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment