Ad

Friday, 8 September 2017

Nabi Zulkifli dilantik sebagai raja



ARKIB : 27/10/2006
Kisah Al-Quran - Siri 13
DAN (ingatlah kisah) Ismail, Idris dan Zulkifli. Semua mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang sabar. (al-Anbiyaa’: 85)

NABI Zulkifli ialah anak kepada Nabi Ayub. Nama sebenarnya ialah Basyar bin Ayub. Dia mendapat gelaran Zulkifli kerana kesanggupannya menjalankan perintah raja. Zulkifli bermaksud yang mempunyai kesanggupan.

Nabi Zulkifli mempunyai sifat sabar yang sangat tinggi. Sifat yang dimilikinya itu menyebabkan Allah telah memberi pujian kepadanya. Kisah kesabaran Nabi Zulkifli ini dapat dilihat setelah baginda menerima amanah daripada seorang raja.

Ketika itu, terdapat seorang raja yang telah lanjut usianya. Dia tidak mampu lagi memerintah negerinya. Namun begitu dia tidak mempunyai pewaris bagi menggantikan tempatnya. Dia berasa sangat bimbang. Disebabkan tiada cara lain untuk mengatasi masalah itu, raja tersebut membuat satu pengumuman.

“Wahai rakyat sekelian! Siapa di antara kamu yang sanggup berpuasa pada siang hari dan beribadat pada malam hari, aku akan serahkan kerajaan ini kepadanya.” Raja itu menambah lagi, “Apa yang paling penting, orang itu hendaklah sentiasa bersabar dalam menghadapi segala urusan.”

Malangnya tawaran raja itu tidak mendapat sambutan yang menggembirakan. Tiada siapa yang berani menyahut cabarannya itu. Tidak lama kemudian, raja itu membuat pengumuman sekali lagi. Kemudian tampil seorang pemuda bernama Basyar. Dengan lantang dia berkata: “Aku sanggup melakukan apa sahaja yang telah kamu perintahkan itu wahai tuanku.”

Raja itu sungguh gembira mendengar kata-kata Basyar. Lalu dia menggelarkan Basyar dengan gelaran Zulkifli.

Selepas itu, Nabi Zulkifli dilantik menjadi raja. Sewaktu menjalankan pentadbiran di negerinya, baginda tidak pernah memungkiri janjinya kepada raja. Pada waktu siang, baginda berpuasa. Tetapi baginda tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang raja. Pada waktu malam pula, baginda menumpukan sepenuhnya perhatian untuk beribadat kepada Allah.

Pada suatu malam, istana Nabi Zulkifli didatangi oleh syaitan yang berupa manusia untuk yang berupa manusia untuk menggodanya. Ketika itu nabi Zulkifli sedang tidur, maka tetamu itu disambut oleh wakil baginda. Bagaimanapun tetamu itu mendesak supaya dibawa bertemu dengan Nabi Zulkifli. akhirnya baginda keluar juga walaupun ketika itu adalah waktu rehatnya. Baginda langsung tidak berasa marah, bahkan tetap sabar dengan godaan syaitan itu.

Pada masa yang lain pula, negeri itu sedang menghadapi peperangan. Nabi Zulkifli telah memerintahkan seluruh rakyatnya keluar berperang. Tetapi mereka tidak mahu pergi berperang kerana takut kepada kematian. Mereka meminta Nabi Zulkifli berdoa supaya memanjangkan umur mereka, barulah mereka akan pergi berperang.

Nabi Zulkifli masih bersabar dengan kerenah rakyatnya. Baginda berdoa kepada Allah seperti apa yang diminta mereka. Akhirnya Allah memakbulkan doanya, lalu semua rakyatnya berumur panjang. Namun begitu, mereka tidak mempunyai tanah dan makanan yang cukup kerana penduduknya terlalu ramai. Kemudian mereka meminta lagi kepada Nabi Zulkifli supaya mengembalikan umur mereka seperti dahulu. Lalu Nabi Zulkifli berdoa lagi dan Allah memakbulkan doanya. begitulah tahap kesabaran nabi Zulkifli sehingga Allah memujinya.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx.com.

*PENGAJARAN

*Setiap manusia harus berpegang pada janjinya.

*Kita mesti berani menyahut cabaran jika ingin berjaya dalam kehidupan kita.

*Setiap daripada kita mestilah bersabar dalam menempuh segala ujian yang diberikan oleh Allah

*Sebagai seorang pemimpin, kita hendaklah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita dan bersabar terhadap tindak tanduk orang bawahan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4s6Ahb6p1
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment