ARKIB : 16/10/2006
KUALA LUMPUR Malaysia sekadar
berpuas hati dengan ganjaran AS$3,000 (RM11,050) setelah menduduki tempat
tercorot dalam persaingan tiga penjuru Kejohanan Bola Sepak Piala Ibu Kota
SHBank di Hanoi, Vietnam.
Dengan kalah sekali dan seri
sekali, skuad Olimpik Bawah 21 negara mengesahkan kedudukan itu selepas Vietnam
menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan terakhir, kelmarin.
Gol Vietnam kelmarin
dijaringkan oleh Minh Chuyen pada minit ke-50 dan Anh Duc, 77 yang turut
menyaksikan pemain Thailand, Wuttichai Tatong dibuang padang, lima minit
sebelum tamat.
Anak buah B. Sathianathan
dibelasah oleh tuan rumah yang membariskan skuad yang lebih senior 4-0 sebelum
seri tanpa jaringan dengan skuad Olimpik Thailand, Selasa dan Khamis lalu.
Malaysia terikat satu mata
dengan Thailand tetapi perbezaan gol membawa lawan muncul naib juara sambil
meraih AS$5,000 (RM18,400) dan Vietnam yang memungut enam mata, mengaut
AS$10,000 (RM36,835).
Skuad negara menjadikan
kejohanan ini sebagai persediaan menghadapi pusingan kedua kelayakan Olimpik
pada Februari tahun depan. Malaysia menganggotai Kumpulan B dengan Jepun,
Syria, Bangladesh atau Hong Kong.
Kata Sathianathan, selepas ini
skuad Olimpik negara akan menentang skuad Sukan Asia India dalam dua lagi
perlawanan persahabatan, bulan depan.
Perlawanan itu akan menentukan
teras skuad sebelum saya mengadunkan mereka dengan beberapa tonggak skuad Bawah
23 Tahun dan Bawah 20 Tahun apabila Sukan Asia Doha, Kejohanan Belia Asia di
India, berakhir.
Empat atau lima pemain akan
digugurkan dan lima pemain Bawah 20 dan sembilan pemain Bawah 23, menggantikan
mereka, katanya yang menghadapi kelayakan Olimpik kedua selepas 1999.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4s54KjR7e
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment