Ad

Tuesday, 1 October 2013

Jangan lagi pinggir jurulatih

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
RASHID Sidek akhirnya bersetuju untuk kembali membimbing skuad badminton kebangsaan dan akan memulakan tugasnya di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.
KUALA LUMPUR - Rashid Sidek bersetuju untuk kembali ke pangkuan skuad kebangsaan tetapi bersama peringatan kepada pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), jangan sesekali pinggirkan jurulatih.
Jurulatih berusia 45 tahun itu secara rasminya akan memulakan tugas hari ini, sekali gus menamatkan kemelut bersama BAM sejak mengumumkan peletakan jawatan, 19 September lalu.
Kata Rashid, beliau berharap apa yang terjadi sebelum ini tidak berulang lagi, dan sekiranya timbul sebarang masalah, jalan terbaik adalah dengan duduk bincang bukan hanya seorang individu sahaja yang berhak membuat keputusan muktamad dengan tidak mempedulikan pendapat orang lain.
"Sebelum ini hanya seorang sahaja membuat keputusan, sebenarnya perkara yang paling penting adalah bincang secara bersama. Duduk berbincang jika ada masalah selepas itu barulah buat keputusan," katanya selepas menyerahkan surat persetujuan menjadi jurulatih semula kepada BAM semalam.
Jelasnya, apa yang penting sebagai seorang jurulatih ialah dapat bekerjasama baik dengan pemain, jurulatih lain dan juga pihak pengurusan.
"Sekarang saya perlu lupakan apa yang berlaku sebelum ini, saya perlu berfikiran positif untuk membantu pasukan meraih kejayaan. Jika saya tidak kembali nanti mungkin ada yang beranggapan saya jual mahal, budak jahat dan sebagainya.
"Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga telah memberi saranan dan nasihat kepada saya agar kembali, jadi saya balik untuk membantu pasukan kebangsaan ia bukan satu masalah buat saya," kata pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 itu.
Rashid merubah fikiran selepas pengurusan BAM menukar kembali sistem kejurulatihan Isnin lalu, yang disifatkannya sebagai lebih positif.
Dalam masa yang sama, BAM turut mengakui mengalami masalah kekurangan jurulatih untuk menjayakan Projek Menang-Menang yang menumpukan kepada empat kejohanan utama Piala Thomas, Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
"Kami semua adalah satu pasukan, saya tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan jurulatih lain. Siapa melatih siapa bukanlah isu besar, yang penting kita adalah satu pasukan.
"Arahan mereka sekarang ini jelas, iaitu untuk mempertingkatkan prestasi dan mencapai sasaran, secara asasnya ia sama seperti sistem dahulu, cuma ada perubahan di beberapa bahagian.
"Memang selama 10 tahun menjadi jurulatih saya tidak mampu untuk melahirkan seorang lagi pemain bertaraf dunia seperti Datuk Lee Chong Wei, tetapi ini adalah cabaran buat saya bersama jurulatih lain.
"Itulah sebabnya saya perlukan bantuan jurulatih lain, seperti Hendrawan dan Tey Seu Bock, untuk kami bekerjasama secara berpasukan," katanya yang memulakan khidmat sebagai jurulatih di BAM sejak 2003 lagi.
Sementara itu, pengurus besar BAM, Kenny Goh mengakui telah menerima surat persetujuan Rashid untuk kembali semalam.
"Surat ini dihantar kepada Presiden (Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff) dan dalamnya tercatat segala keterangan Rashid termasuk ingin kembali berkhidmat melatih skuad kebangsaan selepas BAM tidak menerima perletakkan jawatannya tempoh lalu," katanya.
Tambahnya, dalam surat tersebut juga menjelaskan bahawa Rashid berminat untuk kembali semula selepas menerima nasihat Khairy.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131001/su_03/Jangan-lagi-pinggir-jurulatih#ixzz2gTsH3kSc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment