Ad

Tuesday, 1 October 2013

Skuad warga kota janji bangkit

Regu Negeri Sembilan (kuning) melakukan libasan sambil cuba dihadang pemain Kuala Lumpur dalam final Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan di AEON Bukit Tinggi, Klang semalam.
KLANG - Kegagalan merangkul kejuaraan sulung kategori kebangsaan pada Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2013 di AEON, Bukit Raja kelmarin tidak langsung mematahkan semangat Kuala Lumpur untuk kembali lagi, tahun depan.
Sebaliknya, skuad warga Kota menganggap kekalahan itu sebagai pengalaman berguna yang mampu membantu mereka mengesan kesilapan dan memperbaikinya.
Dalam perlawanan kelmarin, Kuala Lumpur, yang turut diperkuatkan oleh bekas tekong kebangsaan, Noor Azman Abdul Rahman kecundang dengan keputusan sengit 13-15, 15-21, 12-15.
Bagi Noor Azman, selama setahun setengah tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan sepaktakraw, dia sanggup kembali hanya untuk menyertai Kejohanan KFC-Utusan yang dianggap cukup berprestij.
"Selama setahun setengah saya tidak bermain dalam mana-mana kejohanan sepaktakraw tetapi untuk kejohanan ini, saya dipilih mewakili Kuala Lumpur. Ini merupakan kejohanan pertama saya sejak saya kembali bermain.
"Saya tidak terlaru ralat dengan kekalahan ini kerana lawan kami bukan calang-calang, mereka dibarisi pemain muda yang merupakan pelapis skuad kebangsaan.
"Saya mengakui, sepanjang perlawanan tadi, kami ada melakukan kesilapan kecil sehinggakan regu Negeri Sembilan berjaya mengambil kesempatan untuk mengumpul mata.
"Walaupun kami kalah dalam perlawanan akhir tetapi saya percaya setiap kami telah melakukan yang terbaik.
"Permainan yang ditunjukkan regu Negeri Sembilan sangat bagus dan ternyata, sukar untuk kami menewaskan mereka tetapi kami tidak mudah mengaku kalah, kami tetap mampu memberi saingan kepada regu mereka.
"Apa pun saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan dan pengurus kerana telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menganggotai regu Kuala Lumpur," kata Noor Azman.
Bagi Pengurus Pasukan Kuala Lumpur, Rosli Ab Rahman anak-anak buahnya telah memberi yang terbaik, tetapi lawan mereka lebih hebat.
"Perlawanan tadi (kelmarin) sangat sengit. Pasukan saya telah bangkit di set kedua dengan mata 11-15. Ini menujukkan kami telah berusaha bagi memberi saingan kepada lawan, namun kekuatan regu Negeri Sembilan dapat mengatasi kami.
"Lawan juga masih muda. Saya memuji ketangkasan yang ada pada setiap pemain mereka.
"Saya tidak sedikitpun berasa sedih atas kekalahan ini. Bahkan saya bangga melihat prestasi anak-anak buah saya. Ini adalah titik tolak untuk kami memperbaiki kekurangan," kata Rosli.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131001/su_04/Skuad-warga-kota-janji-bangkit#ixzz2gTtAMWOM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment