KOTA BHARU 3 Okt. - Polis Kelantan memberi jaminan bersiap sedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini Sabtu ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya akan menempatkan seramai 500 anggota termasuk 100 orang daripada pasukan polis sukarelawan di stadium tersebut pada hari perlawanan.
Beliau berkata, jumlah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) juga akan ditambah dua kali ganda bagi memastikan keselamatan di stadium tersebut benar-benar terjamin.
"Saya memberi jaminan stadium ini selamat dan tidak perlulah untuk membawa pengawal bersenjata ke stadium, kita pun sudah memberi nasihat mengenai perkara ini.
"Kita juga akan mengadakan pemeriksaan badan terhadap semua penonton di 11 pintu masuk stadium pada hari perlawanan tersebut bagi memastikan tiada barangan terlarang seperti mercun atau senjata dibawa masuk," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Sukarelawan Simpanan Polis di Raja Malaysia (SSPDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131003/dn_27/Kelantan-lawan-JDT-500-anggota-polis-kawal-stadium#ixzz2gfDtKRep
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment