Ad

Thursday, 3 October 2013

Ozil tunjuk belang

Mesut Ozil (tengah) diraikan rakan sepasukan, Olivier Giroud (kanan) dan Ramsey selepas menjaringkan gol menentang Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, semalam. - REUTERS
LONDON - Keputusan Arsene Wenger membawa masuk bekas pemain Real Madrid, Mesut Ozil ke Emirates ternyata bukan sia-sia buat Arsenal.
Hanya sebulan bersama Gunners, bintang Jerman itu menyerlah dengan menjaringkan satu gol dan mencipta gerakan cantik buat Olivier Giroud untuk Arsenal menang 2-0 ke atas wakil Itali, Napoli dalam Liga Juara-Juara, semalam.
Pada hari Wenger mencatat sejarah 17 tahun mengemudi Arsenal, ramai yang semakin yakin dengan peluang kelab itu untuk menjulang trofi kejuaraan buat pertama kali sejak kali terakhir memenangi Piala FA pada 2005.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu selesa di tangga teratas Kumpulan F Liga Juara-Juara berbekalkan kelebihan tiga mata ke atas Napoli dan naib juara musim lalu, Borussia Dortmund.
Dalam aksi semalam, Ozil hanya memerlukan seawal lapan minit pertama untuk meletakkan Arsenal memimpin perlawanan di Stadium Emirates.
Gol berpunca daripada gerakan Giroud kepada Aaron Ramsey yang kemudiannya melakukan hantaran tepat kepada Ozil yang merembat bola terus ke gawang gol lawan.
''Kemahiran yang dimiliki dan gerakan penyudahnya adalah apa yang anda harapkan daripadanya. Dia melakukannya dengan baik (mendapatkan gol pertama),'' kata Wenger.
Pemain antarabangsa Jerman itu turut mencipta gerakan menarik buat Giroud yang mengukuhkan kedudukan Arsenal pada minit ke-15.
''Bertuah dapat beraksi bersama dia (Ozil) kerana antara kami ada persefahaman,'' ujar Giroud. - AGENSI
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20131003/sl_02/Ozil-tunjuk-belang#ixzz2gfEuquLj 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment