Ad

Friday, 4 October 2013

Pahang, ATM ke separuh akhir




Pemain ATM, Marlon Alex James (kanan) tangkas mengawal bola daripada pemain Lions XII, Farizt Jameed dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Selayang, malam tadi. ATM menang 4-1. - UTUSAN/Abdul Razak Latif
KUALA LUMPUR - Pahang layak ke separuh akhir dalam tempoh sembilan tahun selepas menewaskan PKNS 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi dengan kiraan agregat 5-3.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula mengikuti jejak Pahang selepas membelasah Lions XII 4-1 untuk kemenangan agregat 4-2 dalam satu lagi saingan suku akhir kedua di Stadium Selayang.
Di hadapan 30,000 penonton, penyerang Tok Gajah, Matias Conti yang meledak hatrik semasa perlawanan suku akhir pertama, 29 September lalu meneruskan sentuhan keramatnya ketika berdepan PKNS apabila menjaringkan gol pertama Tok Gajah pada minit ke-28.
Azamuddin Akil menggandakan kelebihan buat Pahang pada minit ke-59 manakala gol tunggal PKNS oleh Muhd. Khairu Azrin Khazali pada minit ke-66.
Disiplin yang tinggi barisan pertahanan Tok Gajah selain ketajaman serangan pantas ternyata membantu kemenangan skuad kendalian Dollah Salleh yang kali terakhir layak ke saingan separuh akhir Piala Malaysia pada tahun 2004.
Pahang akan berdepan pemenang perlawanan Sarawak dan Sime Darby yang akan berlangsung hari ini di Stadium Negeri, Kuching.
Tuah menyebelahi Tok Gajah apabila dikurniakan sepakan penalti pada minit ke-27 ekoran tindakan Ahmad Azlan Zainal menjatuhkan Conti sebelum pemain dari Argentina itu sendiri menyempurnakan sepakan bagi gol pembukaan Pahang.
Gol itu bagaikan menjadi pembakar semangat kepada anak-anak buah Dollah Salleh bagi mendapatkan jaringan kedua berpunca daripada sepakan jarak jauh menarik penjaga gol, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid pada minit ke-59.
Bola itu hadir tepat ke arah Azamuddin di dalam kotak penalti PKNS yang mudah menanduk menewaskan Mohd. Remezey Che Ros yang gagal menduga dengan tepat arah pergerakan bola.
Di Stadium Selayang, Marlon Alex James mempamerkan persembahan terbaiknya apabila menyumbatkan hatrik untuk memastikan anak-anak buah jurulatih B. Sathianathan melangkah ke saingan separuh akhir.
The Gladiators terlebih dahulu hampir dihukum seawal minit keempat apabila K. Reuben bertindak menjatuhkan kapten Lions XII, Shahril Ishak tetapi nasib ternyata menyebelahi ATM apabila pengadil perlawanan, Mohd. Nafeez Abd. Wahab tidak menghadiahkan penalti kepada pelawat.
Gol pertama yang dicari-cari Gladiators akhirnya menjelma pada minit ke-23 apabila hantaran perancang utama dari Argentina, Bruno Martelotto dari sebelah kanan tertepis pemain lawan, Hariss Harun ke gawang sendiri meletakkan ATM mendahului perlawanan 1-0.
ATM tergamam seketika apabila pemainnya, Amiridzwan Taj diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua, namun beraksi dengan 10 pemain tidak menjejaskan tuan rumah yang ketika itu mendahului 3-1 sebelum Alex James melengkapkan gol ketiganya.
Lions XII yang mengunjungi Stadium Selayang berbekalkan kelebihan satu gol ke atas ATM bangkit seketika menerusi gol tunggal daripada Hafiz Abu Sujad.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131005/su_01/Pahang-ATM-ke-separuh-akhir#ixzz2gnoZXlop
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment