Ad

Friday, 4 October 2013

Penyokong Sarawak ceroboh stadium


Oleh FARHANA JONI
utusansarawak@utusan.com.my
Gelagat sebahagian penyokong Sarawak yang kecewa terhadap FAS apabila mengumumkan tiket perlawanan Sarawak menentang Sime Darby habis dijual di pekarangan Stadium Negeri dekat Kuching, semalam. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
KUCHING - Kira-kira 2,000 penyokong fanatik skuad Bujang Senang memecah masuk Stadium Negeri di sini, semalam selepas tidak berpuas hati gagal mendapat tiket perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Sime Darby, malam ini.
Mereka berkumpul di hadapan pintu pagar utama stadium berkenaan seawal pukul 8 pagi selepas mendapat maklumat mengenai penjualan 1,000 keping tiket tambahan yang dikatakan akan dijual bermula 2 petang.
Penyokong berkenaan bukan sahaja berasal dari bandar raya ini, malah kebanyakan mereka datang dari Miri, Bintulu, Sibu dan Sri Aman.
Kira-kira pukul 2.30 petang, beberapa orang petugas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menggantung kain rentang yang bertulis 'Harap Maaf Tiket Habis'.
Merasakan diri mereka dipermainkan, segelintir penyokong bertindak liar dengan merempuh pintu pagar berkenaan dan masuk beramai-ramai ke pekarangan stadium sambil meluahkan kemarahan.
Bagaimanapun, mereka berjaya ditenangkan oleh Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Daerah, Deputi Supritendan Amihizam Abdul Syukur dan beberapa anggotanya yang bergegas ke tempat kejadian.
Wakil FAS kemudiannya bertemu dengan penyokong Ngap Sayot dan memberi penjelasan berlaku salah faham berhubung penjualan tiket itu sambil menerangkan bahawa baki tiket akan dijual sebelum perlawanan malam ini.
Salah seorang penyokong, Ahmad Kamil, 60-an, berkata, dia kecewa apabila penjual tiket di Wisma Hopoh memberitahunya sebanyak 1,000 tiket tambahan akan dijual di stadium itu, semalam.
"Kalau betul memang tiket telah habis dijual semalam, tidaklah saya buang masa hari ini beratur sekali lagi semata-mata untuk membeli tiket.
"Walaupun saya bekerja sendiri, namun hal ini menyebabkan saya terpaksa menanggung kerugian sebab dua hari saya terpaksa tutup kedai," katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi penyokong yang dikenali sebagai Sharifah, 20, berkata, dia terpaksa berkejar pulang dari kelasnya di Kota Samarahan semata-mata untuk membeli tiket.
"Hari ini sekali lagi saya kecewa apabila pihak FAS buat macam ini, sekurang-kurangnya mereka tampil memberi penjelasan kepada kami yang telah menunggu di sini sejak pukul 8 pagi.
"Saya akan tunggu di sini awal pagi esok untuk pastikan betul atau tidak ada lagi tiket yang akan dijual seperti yang pihak FAS beritahu tadi," katanya.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131005/su_02/Penyokong-Sarawak-ceroboh-stadium#ixzz2gnpW9ygI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment