Ad

Thursday, 3 October 2013

Resah tunggu pemain

Oleh MUHAMAD AZRIN MAD HEDER
sukan@Utusan.com.my
SKUAD kebangsaan menjalani latihan ringan di Kelana Jaya, kelmarin yang hanya dihadiri beberapa pemain sahaja berikutan yang lain terbabit dengan komitmen bersama pasukan masing-masing dalam kempen Piala Malaysia.
KUALA LUMPUR - Kecederaan beberapa tonggak utama Harimau Malaya yang akan berdepan Bahrain dalam kelayakan Piala Asia di Stadium Shah Alam pada 15 Oktober ini mengundang sedikit kebimbangan sekalipun ia bukan masalah besar buat persiapan skuad kebangsaan.
Bagi pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal, beliau masih mempunyai beberapa pilihan pemain untuk mengisi kekosongan itu.
Setakat ini, dua tonggak Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd. Fadhli Shas terpaksa disisihkan kerana kecederaan manakala berita baik yang diterima, pemain Pahang, Azamuddin Akil pula dikhabarkan semakin pulih.
Menurut Rajagobal, Azamuddin mampu memikul tugas di posisi Wan Zack selaku penggempur bahagian sayap.
Di sebalik Azamuddin sebagai pilihan, Rajagobal sebenarnya masih memiliki pilihan lain dengan menyenaraikan pemain Harimau Muda, Shahrul Azwari untuk memainkan peranan itu.
Pengendali berusia 57 tahun itu berkata, beliau akan cuba mencari pengganti yang sesuai bagi menggantikan tonggak utamanya itu.
"Saya perlu pastikan pemain mana yang mampu menggantikan mereka yang cedera untuk kempen kelayakan Piala Asia menentang Bahrain nanti.
"Saya rasa Alex (Azamuddin) boleh menggantikan Wan Zack kerana dia biasa bermain di posisi Wan Zack. Tapi difahamkan oleh jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang dia mengalami kecederaan tetapi tidak begitu serius.
"Kita masih ada Fakri Saaraani, Khyril (Muhymeen Zambri), dan saya akan lihat siapa yang sesuai menggantikan posisi Wan Zack. Saya mahu bagi kelonggaran kepada pemain-pemain (beraksi di suku akhir Piala Malaysia) kerana saya tidak mahu lagi kehilangan pemain," tambah Rajagobal.
Sementara itu, ditanya mengapa tidak memilih untuk mengadakan latihan bersama Harimau Muda A, Rajagobal memberitahu, beliau memiliki cara tersendiri bagi mengatasi situasi tersebut.
"Persiapan masih perlu diteruskan kerana perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Bahrain hanya tinggal dua minggu sahaja lagi
"Bukan saya tidak mahu Harimau Malaya berlatih bersama Harimau Muda, tapi saya mahu pemain saya berada dalam keadaan yang baik. Saya mahu beri tumpuan penuh kepada skuad saya," kata Rajagobal ketika ditemui dalam sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke latihan skuad Harimau Malaya, semalam masih mendapati hanya 11 pemain sahaja yang berlatih daripada 28 pemain yang sepatutnya melaporkan diri.
Baki 17 lagi pemain dikatakan hanya akan melaporkan diri pada 6 Oktober ini selepas mengharungi pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia bersama pasukan masing-masing.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131003/su_01/Resah-tunggu-pemain#ixzz2gfGwjDbP 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment