Oleh Azlan Muhammad Zain
Kuala Lumpur: Ketajaman Patrick Ronaldinho yang kini muncul penjaring terbanyak kempen Piala Malaysia dengan tujuh gol sekali lagi ditagih PKNS FC apabila menanti kunjungan Pahang di Stadium Shah Alam malam ini.
Penyerang import dari Liberia itu antara watak penting skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim untuk mencipta kejutan muncul juara Kumpulan B ketika menyingkirkan pasukan Harimau Selatan, Johor Darul Takzim (DT) yang bergelar naib juara.
Namun PKNS FC tidak dapat menurunkan skuad terkuat apabila pemain tengahnya dari Slovakia, Roman Chmelo masih mengalami kecederaan ketika berlangsungnya aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Jumaat lalu.
“Kami tewas (2-3) di Pahang, jadi kami tidak mempunyai pilihan lain kecuali menang. Hanya itu matlamat kami apabila turun malam esok (malam ini) kerana ini pertandingan kalah mati, tiada peluang kedua selepas ini,” kata Abdul Rahman yang mula mengendalikan kelab itu pada 2009.
Bekas jurulatih kebangsaan itu yang dikaitkan untuk kembali membimbing Terengganu berkata, moral pemainnya tidak terjejas dengan kekalahan tipis di Kuantan tempoh hari dan akan memberikan tumpuan penuh terhadap perlawanan malam ini, berdepan anak buah Dollah Salleh, jurulatih yang turut dikaitkan untuk mengendalikan kelab berkenaan pada musim depan.
Seandainya ingin melangkah sebagai empat pasukan terakhir kempen Piala Malaysia musim ini, anak buah Abdul Rahman perlu berwaspada dengan semangat melawan dipamerkan skuad Tok Gajah seperti suku akhir pertama apabila mereka bangkit daripada ketinggalan walaupun PKNS FC nendahului menerusi jaringan Ronaldinho dan Mohd Lot Abu Hassan.
Dua pertemuan Liga Super menentang Pahang musim ini tidak memihak kepada PKNS FC apabila tewas 4-5 di laman sendiri disusuli tewas di gelanggang lawan 2-3.
No comments:
Post a Comment