Oleh Mohd Hilmie Hussin
Kuala Lumpur: Pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mesti muncul juara Terbuka Kuala Lumpur, menurut pemain perseorangan kedua kebangsaan, Liew Daren (gambar).
“Untuk kejohanan ini, saya rasa malu jika bukan salah seorang daripada pemain kebangsaan muncul juara kerana kami mendapat kemudahan dan menjalani latihan sempurna,” kata Daren, pilihan utama kejohanan yang mengatasi pemain Kuala Lumpur, Oh Soon Keon 21-14, 21-13 untuk melangkah ke suku akhir hari ini.
“Salah seorang mesti menang kerana kami juga pemain pilihan biarpun ada tekanan.” Dalam pada itu, Misbun Ramdan Misbun menganggap sirkit kebangsaan sekarang menunjukkan peningkatan kualiti pemain.
“Dari segi kualiti, memang kejohanan ini meningkat tapi mungkin disebabkan kami saling memahami corak permainan masing-masing,” kata Ramdan yang mengatasi pemain remaja negara, Soong Joo Ven 21-17, 21-13 di pusingan kedua semalam.
Biarpun menang, dia diberi tentangan sengit oleh Joo Ven dan Ramdan mengakui belum mempamerkan tahap permainan terbaik.
“Hari ini bukan permainan terbaik saya kerana banyak melakukan kesilapan. Berdepan pemain remaja seperti Joo Ven memang sukar kerana dia tidak takut melakukan kesilapan berbanding saya, pemain lebih senior.” Sementara itu, hujan lebat di Cheras mengganggu kerancakan perlawanan.
Daripada enam gelanggang, hanya dua boleh digunakan untuk pertandingan sekitar jam 2.10 petang sehingga 3.30 petang kerana bumbung Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras ini dilaporkan bocor.
No comments:
Post a Comment