KOTA BHARU - Kekalahan 2-4 The Red Warriors kepada Johor Darul Takzim pada aksi suku akhir pertama minggu lalu menyaksikan juara bertahan itu bakal berdepan laluan sukar pada aksi kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu ini.
Ketika ramai melihat peluang Kelantan untuk memadamkan defisit jaringan yang dimiliki oleh Johor DT agak rumit, namun bekalan dua gol yang berjaya dicuri dalam aksi pertama lalu memberikan sedikit kelegaan buat skuad kendalian Bojan Hodak.
Ditambah pula dengan kelebihan beraksi di gelanggang keramat mereka serta puluhan ribu penyokong setia pasti membangkitkan 'aura' semangat dalam pemain The Red Warriors.
Biarpun rekod kebal selama dua tahun di laman sendiri lebur di tangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Super, Mei lalu, namun Stadium Sultan Muhammad IV tetap menghadirkan mimpi ngeri buat pasukan lawan setiap kali mereka bertandang ke sini.
Reputasi baik yang miliki Kelantan setiap kali beraksi di gelanggang sendiri pastinya ditagih dalam usaha menyekat kemaraan Johor DT untuk layak ke pusingan separuh akhir dalam saingan Piala Malaysia musim ini terlaksana.
Turun dengan misi memadamkan kelebihan dua jaringan yang dimiliki Johor DT, The Red Warriors tidak mempunyai banyak pilihan selain mendapatkan jaringan awal pada perlawanan tersebut.
Jaringan ini amat penting sebagai tonik berharga buat barisan Kelantan seandainya mereka mahu memadamkan hasrat lawan untuk mara ke peringkat seterusnya.
Hodak pastinya mahu melupakan kekalahan tersebut dan berharap barisan pemainnya kembali bangkit dalam perlawanan tersebut.
Beliau yang kecewa dengan kekalahan tersebut menyifatkan aksi dalam babak pertama yang diperagakan barisan pemainnya itu adalah persembahan terburuk sejak mengendalikan Kelantan untuk tempoh dua tahun.
Kerapuhan benteng pertahanan serta kegagalan 'menenangkan diri' dengan dua jaringan awal pelawat menjadi faktor barisan pemainnya gagal memperagakan aksi terbaik pada babak pertama.
Justeru, jika mahu menang Kelantan perlu membuat sedikit rombakan di bahagian pertahanan bagi memastikan 'mimpi ngeri' dibolosi tiga gol untuk tempoh 45 minit pertama tidak lagi berulang.
Begitu juga dengan barisan tengah, kemasukan Zairol Annuar Zailani di babak kedua memperlihatkan Kelantan kembali mengimbangi posisi berkenaan, kelibat Mohd. Badhri Razdi pastinya terus ditagih untuk membuat hantaran-hantaran bahaya sekali gus memudahkan tugas Dickson Nwakaeme di bahagian serangan.
Bagaimanapun, berdepan Johor DT bukanlah tugas mudah, mereka pasti memilih untuk mengamalkan corak bertahan dalam usaha mempertahankan kelebihan dua jaringan.
Percaturan ini sedikit sebanyak pasti memberikan kesukaran kepada jentera serangan The Red Warriors untuk menembusi benteng pertahanan di tambah dengan persembahan menarik yang diperagakan oleh Aidil Zafuan Abdul Razak bersama gandingannya dalam perlawanan sebelum ini.
Kelibat Norshahrul Idlan Tahala perlu dirantai sepenuhnya oleh barisan The Red Warriors kerana pemain ini sememangnya terkenal dengan gerakan licik yang mampu menghadirkan mimpi ngeri sekiranya diberikan peluang untuk bergerak bebas dalam perlawanan tersebut.
Nama-nama lain seperti Nurul Azuan Roya, Leonal Nunez dan Safee Sali juga tidak boleh dipandang mudah oleh Kelantan kerana kesemua pemain ini mempunyai kemahiran tinggi untuk meledakkan jaringan jika diberikan peluang.
Bagi penyokong tegar Kelantan, mereka tetap optimis pasukan kesayangan akan bangkit pada pertemuan suku akhir kedua.
Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim atau kelate.net, Mohd. Khairi Yazib berkata, The Red Warriors perlu mendapatkan jaringan awal pada perlawanan tersebut dalam usaha memadamkan kelebihan dua gol yang dimiliki oleh Johor DT.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131002/su_04/The-Red-Warriors-tagih-tuah-gelanggang-sendiri#ixzz2gfSc6L7g
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment