Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my
DR. Khair Mohamad Yusof
menunjukkan buku Analisis Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013
selepas sidang akhbar di Kementerian Pendidikan, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
PUTRAJAYA 19 Dis. - Pencapaian
calon cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mendapat A dalam semua
mata pelajaran tahun ini meningkat sebanyak 514 orang atau 0.41 peratus
berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk
Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, sebanyak 30,988 calon berjaya memperoleh gred
A dalam semua mata pelajaran berbanding 30,474 calon tahun lalu.
Beliau berkata, bilangan calon
yang melepasi tahap penguasaan minimum pula menurun sebanyak 5,381 calon iaitu
daripada 273,099 orang tahun lalu kepada 267,718 tahun ini.
"Secara keseluruhan
pencapaian sebanyak 422,506 calon yang menduduki PMR tahun ini dalam 17 mata
pelajaran akademik bertambah baik dengan peningkatan sebanyak 0.04 mata gred
purata nasional (GPN) iaitu daripada 2.71 mata pada tahun lalu kepada 2.67 mata
untuk tahun ini.
"Indeks yang digunakan
untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara adalah menggunakan GPN
manakala ukuran untuk prestasi mata pelajaran adalah gred purata mata pelajaran
(GPMP) di mana nilai gred purata yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon
lebih baik," katanya dalam sidang akhbar pengumuman analisis keputusan PMR
di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Menurut Khair, bilangan calon
yang melepasi tahap penguasaan minimum iaitu semua gred D menurun sebanyak
5,381 calon iaitu daripada 273,099 calon kepada 267,718 calon.
Beliau berkata, bilangan calon
yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran pula bertambah daripada 241
kepada 307 calon.
Mengulas lanjut, kata Khair,
pencapaian calon bandar adalah lebih baik daripada calon luar bandar dengan
gred purata masing-masing adalah 2.56 mata dan 2.81 mata.
Bagaimanapun katanya, jurang
pencapaian tersebut semakin mengecil iaitu sebanyak 0.01 mata iaitu daripada
0.26 mata pada tahun lalu kepada 0.25 mata tahun ini.
"Untuk calon keperluan
khas pula sebanyak 11 calon mendapat keputusan cemerlang iaitu gred A dalam
semua mata pelajaran, namun jumlah ini berkurang tiga calon berbanding tahun
lepas dan secara keseluruhan calon ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.056
mata iaitu 4.07 mata berbanding 4.12 mata tahun ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata,
tiga daripada 17 mata pelajaran menunjukkan penurunan iaitu Bahasa Melayu,
Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) Rumah Tangga dan KHB Perdagangan serta Keusahawanan.
"Prestasi subjek Bahasa
Melayu menurun sebanyak 0.03 mata iaitu daripada GPMP 2.32 mata pada tahun lalu
kepada 2.35 mata, manakala KHB Rumah Tangga dan KHB Perdagangan serta
Keusahawanan masing-masing menurun sebanyak 0.04 dan 0.02 mata.
"Prestasi mata pelajaran
Bahasa Inggeris pula meningkat sebanyak 0.10 mata iaitu daripada indeks GPMP
3.23 mata tahun lalu kepada 3.13, manakala Sejarah dan Geografi masing-masing
menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak 0.09 dan 0.04 mata," katanya.
Sementara itu, beliau berkata,
analisis dan GPMP mata pelajaran Matematik meningkat 0.03 mata iaitu daripada
2.78 tahun lalu kepada 2.75 mata manakala subjek Sains pula meningkat 0.04 mata
iaitu daripada 2.79 kepada 2.75 mata.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131220/dn_02/30988-calon-dapat-semua-A#ixzz2ny16OAVK
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment