Ad

Thursday, 19 December 2013

Berakhir sudah perjuangan

Pemain Harimau Muda, Nazirul Naim Che Hashim dihalang oleh pemain Indonesia, Rizky Pellu dalam perlawanan separuh akhir bolasepak Sukan Sea Myanmar Ke-27 di Stadium Zayar Thiri, Nay Pyi Taw, semalam.
NAY PYI TAW - Impian untuk melakar misi pingat emas hatrik Sukan SEA di Myanmar berkubur akhirnya apabila Harimau Muda kalah melalui sepakan penalti 4-3 kepada musuh tradisi, Indonesia selepas terikat 1-1 sehingga masa tambahan di Stadium Zeyar Thiri.

Keputusan itu seolah-olah seperti satu persamaan semasa Malaysia menjuarai Sukan SEA 2011 melalui sepakan penalti 4-3 ke atas Indonesia selepas seri 1-1. Cuma kali ini ia memihak pula kepada lawan yang menyambut kemenangan itu bagi memastikan tempat ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut.

Bagaikan nasib seperti tidak memihak kepada skuad negara, Harimau Muda sebenarnya mempamerkan aksi semangat juang yang tinggi selepas berjaya menyamakan kedudukan melalui A. Thamil Arasu pada minit ke-84 selepas lawan mendahului menerusi Bayu Gatra Sanggiawan pada minit ke-30.

Segala-galanya sudah nampak kekalahan akan memihak kepada skuad negara apabila Thamil dan Shahrul Saad gagal dalam dua sepakan pertama.

Tekanan reda seketika apabila skuad Harimau Muda menyamakan kedudukan kepada 3-3 sebelum sepakan penalti terakhir yang diambil Yohanes Ferinando Pahabol memberikan kekecewaan bukan kepalang kepada seluruh penyokong bola sepak negara.

Hanya perlawanan penentuan pingat gangsa sahaja pada hari esok mampu menjadi pengubat kepada kekecewaan skuad negara agar tidak pulang tangan kosong seperti mana di Sukan SEA Korat, Thailand 2007.

Pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, yang ditemui semasa sidang akhbar berkata, dia mengambil sepenuhnya tanggungjawab atas kekalahan itu dan tidak mahu mana-mana pihak menyalahkan para pemainnya.

''Tanpa tujuh pemain utama sebelum ke sini, satu situasi yang tidak mungkin dirasai oleh pasukan-pasukan lain, kami menunjukkan yang pasukan ini tidak mudah dikalahkan dan mara ke separuh akhir.

''Suasana di bilik persalinan bagaikan ada kematian kerana semua pemain saya telah memberikan segalanya dalam perlawanan ini dan tiada siapa patut dipersalahkan terutama kita kalah melalui sepakan penalti.

''Letakkan kekalahan ini sepenuhnya di atas bahu saya dan mengulas mengenai sepakan penalti, Thamil dan Shahrul memang menjadi dua pilihan pertama saya apabila Saarvindran dikeluarkan.

''Begitu juga dengan Izham Tarmizi, jika dia bukan penjaga gol yang baik hanya kerana dia gagal dalam situasi sepakan penalti, sudah tentu kami tidak akan mara ke perlawanan separuh akhir," katanya.

Dalam masa sama, Kim Swee menjelaskan, dia sudah tiada lagi pemain sayap di bahagian kiri selepas Ashri Chuchu mengalami kecederaan dan terpaksa menggunakan Nazirul Naim Che Hashim.

''Ketiadaan pemain sayap sebelum saya ke sini memang merencatkan banyak perancangan saya bagi menghadapi Sukan SEA Myanmar.

''Ditambah dengan kecederaan yang menimpa Ashri Chuchu, saya terpaksa meletakkan Nazirul Naim mengisi posisi itu yang tidak pernah beraksi sebagai sayap kiri," katanya.

Sementara itu, jurulatih Indonesia, Rahmad Darmawan, berkata, pasukannya bernasib baik menang melalui sepakan penalti, namun menjelaskan dia memang bersedia untuk menghadapi situasi berkenaan.

''Pengalaman dua tahun lalu membuatkan semua pemain telah bersedia untuk menghadapi situasi ini. Penjaga gol, Kurnia Meiga Hermansyah, membuktikan kecemerlangannya apabila menjadi penentu semasa penentuan sepakan penalti," katanya.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131220/su_01/Berakhir-sudah-perjuangan#ixzz2ny2gzhFx © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment