KERJA-KERJA mengeluarkan rangka
Perak Man dilakukan dengan penuh teliti.
SEGALANYA bermula pada tahun
1980-an. Ia bermula apabila Profesor Datuk Dr. Zuraina Majid yang ketika itu
bertugas di Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia (kini dikenali Pusat Penyelidikan
Arkeologi Global Malaysia), Universiti Sains Malaysia (USM) berasa pelik
tentang penemuan bukti manusia terawal di Gua Niah, Sarawak yang berusia 45,000
tahun dahulu (td).
Tanda tanya timbul di dalam
dirinya mengenai penemuan tersebut. Detik hatinya berkata, jika manusia sudah
sampai ke Gua Niah, Sarawak yang terletak di kepulauan Borneo, maka tentulah
masyarakat purba sudah berada di mana-mana lokasi di Semenanjung Malaysia.
Pada ketika itu, ahli arkeologi
di seluruh dunia telah sedia maklum mengenai teori Out of Africa iaitu teori
yang menunjukkan laluan kuno manusia awal keluar dari benua Afrika menuju ke
bahagian-bahagian lain di muka bumi ini.
Mengikut teori itu, manusia
terawal keluar dari Afrika dengan berjalan merentasi India, Semenanjung Malaysia,
kepulauan Indonesia dan Australia.
Keinginan untuk tahu lebih
lanjut tentang penempatan awal manusia di Semenanjung Malaysia itu telah
mendorong Zuraina membuat penyelidikan menerusi pembacaan manuskrip.
Hasilnya, beliau menemui
manuskrip yang menceritakan tentang dua orang Inggeris yang bertugas sebagai
pegawai daerah di Tanah Melayu pada 1936 dan 1954 menemui alat batu di Kota
Tampan.
"Saya baca tentang dua
orang Inggeris itu, seorang bernama Collings (1936) dan seorang lagi, Sieveking
(1954).
"Kedua-duanya menulis
mengenai alat batu yang ditemui di satu kawasan yang dinamakan Kota Tampan.
Untuk melihatnya, saya pergi ke Singapura dan London kerana alat batu tersebut
telah dibawa ke sana.
"Bila tengok sendiri alat
batu itu, saya tahu ia memang dibuat oleh manusia. Masalahnya, saya tak tahu
mana nak mula, sebab bila saya buka peta, ada banyak tempat namanya Kota
Tampan," katanya kepada S2.
Menurut Zuraina, beliau
kemudiannya bertanyakan kepada orang-orang tua yang tinggal di Kampung Cheri,
Kota Tampan, Lenggong yang terletak di utara negeri Perak.
"Saya tanya, ada tak mat
saleh datang sini untuk buat kajian. Kebanyakan mereka tak tahu. Namun berkat
usaha dan doa, akhirnya saya ditunjukkan satu lokasi.
"Saya tengok tempat itu
adalah hutan, ada kebun getah dan kampung yang kecil. Kalau beginilah
keadaannya, saya kena buat kajian sendiri.
"Saya tahu permukaan bumi
berubah mengikut masa dan jika tiada ada apa-apa di permukaan, maka tentulah
ada sesuatu di bawah," katanya yang kemudian meminta kerjasama seorang
ahli geologi dari Petronas, Prof. Tjia untuk membantunya mengenal pasti
kawasan.
Menurutnya, Prof. Tjia memang
pakar dalam bidangnya dan berikutan itu, beberapa kawasan di Kota Tampan telah
ditanda untuk kerja-kerja ekskavasi.
"Akhirnya, saya berjaya
menemui bukti iaitu alat batu berusia kira-kira 70,000 tahun dahulu (td) pada
1987.
Zuraina berkata, penemuan
tersebut telah memberi bukti baharu dan kesan pada kebudayaan manusia
prasejarah di Asia Tenggara.
"Penemuan alat batu di
Kota Tampan telah memadamkan bukti yang menyatakan manusia terawal di Malaysia
mendiami Gua Niah.
"Ini kerana rangka yang
ditemui di Gua Niah berusia 45,000 td, sedangkan alat batu yang dibuat manusia
di Kota Tampan berusia 70,000 td," ujarnya.
Berikutan itu, katanya, ahli
arkeologi dari 30 tempat di dunia termasuk dari Eropah, Amerika, China, Nepal
dan negara-negara ASEAN datang ke Kota Tampan dalam masa tiga tahun kerja-kerja
ekskavasi dilakukan beliau.
Menurut Zuraina, penemuan
tersebut turut menaikkan nama Malaysia dalam bidang arkeologi yang sebelum ini
pakar arkeologi dunia menganggap Malaysia agak terkebelakang dalam bidang itu.
Sementara itu, mengulas
mengenai penemuan rangka manusia tertua di Malaysia yang dinamakan Perak Man
pada 1991, katanya, apabila kerja-kerja di tapak ekskavasi membuahkan hasil
pada tahun 1987, maka timbul pula tanda tanya mengenai 'rumah' yang didiami
oleh masyarakat purba.
"Saya lihat ada banyak gua
di sekitar Kota Tampan. Gua pada zaman batu dianggap seperti rumah semula jadi.
Jadi, saya pun memulakan kerja-kerja ekskavasi di kawasan gua pula.
"Dalam salah satu gua yang
'diteroka', saya bersama pasukan saya menemui rangka Perak Man di Gua Gunung
Runtuh," katanya yang memberitahu nama rangka itu diberikan oleh Raja Muda
Perak, Raja Nazrin Shah.
Penemuan itu kemudiannya
menjadi terkenal di seluruh dunia, sekali gus mengangkat martabat Malaysia
dalam bidang arkeologi.
Kata Zuraina, penemuan yang
dilakukan di Lembah Lenggong membuktikan bahawa lembah itu pernah menjadi penempatan
manusia pada 1.83 juta td, 500,000 td, 200,000 td, 40,000 td, 30,000 td dan
10,000 td.
"Pentarikhan ini
menunjukkan Lembah Lenggong sentiasa dihuni manusia dari semasa ke semasa
walaupun dalam tempoh tertentu, mereka pupus akibat impak meteriot sekitar 1.83
juta td dan impak letusan Gunung Berapi Toba kira-kira 75,000 td,"
ujarnya.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131214/re_07/Alat-batu-jadi-bukti-penting#ixzz2nSuMvCBB
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment