BUKIT Bunuh yang terletak di
tepi Sungai Perak dilihat dari Kampung Luat, Lenggong, Perak.
PERADABAN manusia terawal di
Malaysia sudah pun bermula sebelum 1.83 juta tahun dahulu (td). Terdapat banyak
bukti yang menunjukkan peradaban manusia terawal di negara ini sudah wujud di
Lembah Lenggong, Perak pada tarikh tersebut.
Bukti-bukti tersebut ditemukan
daripada hasil kajian arkeologi yang diadakan di lembah tersebut secara
berterusan sejak 1987.
Antara kerja-kerja yang
dilakukan termasuklah pemetaan, survey dan penggalian tapak-tapak arkeologi
yang menemukan bukti seperti alat batu, bengkel pembuatan alat batu, artifak
alat batu di dalam batuan suevit, tasik kuno yang terletak 76 meter dari aras
laut dan kawasan impak meteorit.
Segalanya bermula pada 1987
apabila sekumpulan pengkaji dalam bidang arkeologi yang diketuai oleh Profesor
Dr. Siti Zuraina Majid (kini Datuk), menjalankan kerja-kerja penggalian artifak
purba di lembah berkenaan.
Dalam kerja-kerja tersebut,
beliau telah meminta bantuan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan
salah seorang yang terlibat adalah Mokhtar Saidin.
Mokhtar yang kini berjawatan
Profesor Dr. merupakan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global di
Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Menurutnya, ketika diminta
membantu Zuraina, beliau baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang
arkeologi di UKM.
Ketika itu, katanya,
kerja-kerja penggalian dilakukan di kawasan yang dinamakan Kota Tampan.
"Pemetaan dan survey
dijalankan dari semasa ke semasa. Saya ketika itu dipertanggungjawabkan untuk
memetakan tapak-tapak berpotensi.
"Pemetaan tapak terbuka
seperti Kota Tampan telah mendedahkan bahawa ia berada di tepi sebuah tasik
kuno, sekitar 76 meter dari paras laut.
"Justeru, saya perlu
melakukan survey dan pemetaan di kawasan yang berketinggian lebih daripada 76
meter untuk melihat sama ada terdapat enapan kelikir sungai atau tidak, dan
potensinya dalam aspek arkeologi," katanya kepada S2 ketika ditemui di
pejabatnya di USM, Pulau Pinang.
Menurutnya, salah satu kejayaan
yang dilakukan dalam survey itu adalah penemuan tapak Paleolitik Bukit Bunuh
berkeluasan empat km persegi.
"Kajian di Lembah Lenggong
dilakukan dari semasa ke semasa dan pada 2001, kami menemukan ribuan alat batu
termasuk batuan berusia 1.83 juta td di Bukit Bunuh," katanya sambil
memberitahu batuan tersebut ditemui pada tahun 2001 apabila kerja-kerja menolak
tanah dilakukan bagi menanam kelapa sawit.
Ketika itu katanya, kawasan
yang telah diratakan untuk membentuk teres bagi menanam kelapa sawit telah
mendedahkan beribu-ribu alat batu.
Beliau menjelaskan terdapat dua
kategori penemuan artifak alat batu di Bukit Bunuh iaitu artifak alat batu di
dalam batu suevit yang mewakili kebudayaan manusia lebih 1.83 juta td.
Tambahnya, kategori kedua
adalah artifak yang berasosiasi satu sama lain dalam bentuk bengkel pembuatan
alat batu yang mewakili kebudayaan manusia sekitar 30,000 td, 40,000 td dan
90,000 td.
"Usia batuan 1.83 juta td
itu bukan kami yang tentukan, sebaliknya kami bawa ia ke sebuah makmal di
Jepun, Japan Cronology Lab pada tahun 2007 untuk tujuan pentarikhan.
"Hasil ujian di makmal
tersebut mendapati batuan itu berusia 1.83 juta tahun," ujarnya yang
menghantar sendiri batuan itu ke makmal di Jepun.
Namun katanya, apa yang
mengujakan dalam penemuan tersebut adalah tapak kawah impak jatuhan batu meteor
berdiameter lapan km persegi turut ditemui.
"Penemuan itu membuktikan
Bukit Bunuh pernah ditimpa batu meteor. Kajian Geologi Am yang dilakukan pula
menemukan sienit dan bukti kemasukan cairan bahan berbesi dalam batuan granit
di kawasan bibir kawah impak di Kampung Chain, Kampung Beng dan Kampung Chepor"
ujarnya.
Beliau berkata, rumusan
mengenai penemuan itu akan diterbitkan dalam jurnal dan dijangka dihantar ke
The Planetary and Space Science Centre (PASSC), University of New Brunswick,
Kanada bagi tujuan pendaftaran.
"Saya jangkakan proses
pendaftaran ini akan selesai pada pertengahan tahun hadapan dan apabila
didaftarkan kelak, Bukit Bunuh akan diiktiraf sebagai salah satu kawasan impak
meteorit di dunia," katanya.
Berikutan itu, katanya, Bukit
Bunuh akan muncul sebagai satu daripada 28 tapak impak meteorit yang memiliki
bukti suevit daripada keseluruhan 896 tapak impak meteroit dari seluruh dunia.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131214/re_08/Bukit-Bunuh-dihentam-meteorit#ixzz2nSwlNaHl
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment