Ad

Wednesday, 11 December 2013

Bekas 'regu emas' negara bidas PSM

 NORMANIZAM (tengah) dan Futra (kanan)

DUA bekas pemain sepak takraw negara membidas keengganan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) meletakkan sasaran pingat emas pada Sukan SEA 2013 apabila skuad elit memulakan aksi berpasukan menentang Thailand hari ini.

Bekas perejam, Mohd. Futra Abd. Ghani dan tekong, Mohd. Normanizam Ahmad menyifatkan tindakan PSM itu sesuatu yang tidak wajar, malah menggambarkan badan induk tersebut tidak yakin langsung dengan kemampuan barisan bimbingan Jamaluddin Hassan menggapai emas.

Futra dan Normanizam yang menamatkan kemarau emas 12 tahun skuad sepak takraw negara pada Sukan SEA 2005 di Filipina, turut hairan mengapa PSM lebih gemar mencanangkan bahawa sasaran sebenar ialah emas Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

"Saya tidak setuju dengan sasaran PSM. Emas Sukan SEA tetap penting sebagai satu semangat dan keyakinan awal pasukan negara.

"Bagaimana hendak mencongak peluang atau kemampuan pada tahap yang lebih tinggi macam Sukan Asia jika awal-awal lagi sudah menyerah dalam Sukan SEA.

"Sebagai bekas pemain negara, kami tetap meyakini kemampuan skuad sekarang," kata Futra.

Normanizam pula sempat berpesan kepada skuad elit negara agar menguatkan mental mereka apabila berdepan lawan seperti Thailand.

"Pantang kita terus menyerah biarpun ketika ketinggalan jauh mata. Jurang kita dengan lawan pun bukanlah banyak bezanya," jelasnya.

Malaysia akan menghadapi musuh tradisi, Thailand dan tuan rumah, Myanmar hari ini selain Indonesia pada keesokannya.

Jika memenangi kesemua aksi liga sepusingan itu, Malaysia akan mengakhiri kemarau emas berpasukan sepak takraw Sukan SEA sejak temasya 1991 di Manila.
 RUJUKAN:KOSMO ONLINE 12.12.13

No comments:

Post a Comment