IZZAQ (kanan)
mengasak gawang Brunei pada aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Zeyyer Thiri
kelmarin.
NAY PYI TAW,
Myanmar - Penyerang Harimau Muda, Izzaq Faris Ramlan bertekad untuk menebus
kesilapan yang dilakukan pada aksi sulung Kumpulan A menentang Brunei kelmarin.
Izzaq yang
kembali disenaraikan selepas pulih daripada kecederaan ketika Harimau Muda
melakar kemenangan 2-0 di Stadium Zeyyer Thiri itu dilihat gagal menampilkan
aksi sebenar.
Lebih malang,
Izzaq dikeluarkan pada minit ke-58 untuk digantikan dengan D. Saarvindran
selepas Harimau Malaya mendahului 1-0 hasil jaringan Rozaimi Abd. Rahman pada
minit ke-30.
"Saya
sudah lama tidak beraksi dengan skuad negara. Sudah tentu sukar untuk saya
mencari rentak sebenar pada perlawanan pertama ini tetapi saya telah melakukan
yang terbaik.
"Secara
keseluruhannya, saya tidak berpuas hati dengan persembahan saya hari ini
(kelmarin). Banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutama penyudah yang
tumpul," kata penyerang Terengganu itu.
Meskipun gagal
memberikan sumbangan besar, Izzaq tetap gembira kerana skuad kendalian Datuk
Ong Kim Swee itu tetap menang dan ia adalah perkara yang paling penting.
Izzaq berkata,
dia akan cuba untuk bermain lebih baik sekiranya disenaraikan sekali lagi dalam
kesebelasan utama.
"Saya rasa
rakan-rakan sepasukan tidak terlalu tertekan untuk menghadapi perlawanan ini
meskipun Vietnam berjaya membelasah Brunei 7-0 pada aksi pertama kumpulan, Ahad
lalu.
"Apa yang
saya lihat, kelemahan utama kami adalah gagal untuk membentuk keserasian pada
perlawanan pertama ini," katanya.
Izzaq antara
pemain tonggak yang membantu Harimau Muda mempertahankan pingat emas pada Sukan
SEA 2011 di Jakarta, Indonesia.
Bagaimanapun,
dia tidak dapat bersama Harimau Muda ketika aksi final menentang Indonesia
selepas mengalami kecederaan lutut.
RUJUKAN: KOSMO ONLINE 12.12.13
No comments:
Post a Comment