Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my
JAGUH negara, Datuk Lee Chong
Wei tidak memandang rendah keupayaan pemain Denmark, Jan O Jorgensen ketika
beraksi pada perlawanan ketiga Kumpulan A Kejohanan Badminton Siri Super
Masters Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Stadium Badminton Kuala
Lumpur, Cheras hari ini.
Jelas Chong Wei, dia
menjangkakan aksi lebih garang daripada Jorgensen yang kini berada dalam
situasi terbaik selepas memenangi Terbuka Perancis pada Oktober lalu.
“Kali terakhir saya bertemu
Jorgensen pada Terbuka Hong Kong bulan lalu, walaupun ketika itu dia tidak
melawan pada set pertama tetapi dia bermain dengan lebih baik pada set kedua.
“Saya juga percaya Jorgensen
akan mempamerkan aksi yang lebih baik kerana dia menang pada Terbuka Perancis
dan sudah pasti dia akan turun dengan lebih berkeyakinan esok (hari ini).
“Saya juga pernah kata sebelum
ini bahawa semua pemain perseorangan yang hadir pada kejohanan ini turut
mempunyai impian lain iaitu untuk menewaskan saya, jadi saya juga perlu
sentiasa berwaspada,” kata Chong Wei semalam.
Pada aksi kedua Kumpulan A
semalam, Chong Wei sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila hanya
memerlukan 29 minit untuk menewaskan pemain Thailand, Boonsak Ponsana 21-6,
21-8.
Lebih menarik, kejayaan
tersebut merupakan rekod kemenangan ke-21 Chong Wei ke atas pemain yang
menghuni ranking ke-7 dunia itu sejak Terbuka Malaysia 2006.
Kekalahan terakhir Chong Wei
kepada Boonsak ialah pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Asia 2008 yang
ketika itu berlangsung di Malaysia.
Mengulas mengenai perlawanan
itu, Chong Wei berkata, dia berasakan seperti Boonsak hanya mempamerkan aksi
bersahaja dan tidak melawan.
“Saya tengok dia permainan dia
lebih kurang sahaja tetapi mungkin juga sebab saya memberikan aksi yang terbaik
kerana saya mahu menghabiskan perlawanan ini cepat.
“Saya mahu menyimpan tenaga dan
berehat kerana masih ada satu lagi perlawanan peringkat kumpulan esok (hari ini).
“Kalau boleh saya mahu
meneruskan kemenangan ini. Walaupun telah layak ke separuh akhir, saya tetap
tidak akan memandang mudah terhadap lawan dan terus mencatatkan kemenangan,”
jelas Chong Wei.
Chong Wei kini dalam misi
memburu gelaran keempat Siri Super Akhir BWF selepas kejayaannya mengungguli
edisi 2008, 2009 dan 2010.
RUJUKAN : KOSMO ONLINE
13.12.2013
No comments:
Post a Comment