Ad

Thursday, 12 December 2013

Phoon Eyin tak ambil kisah

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE

hidayat.azmie@kosmo.com.my

SKUAD wusyu negara tiba di KLIA semalam selepas menamatkan saingan mereka pada Sukan SEA 2013. Wusyu menyumbang tiga pingat emas buat kontinjen negara.

SRIKANDI wusyu negara, Phoon Eyin (gambarkecil ) gembira dengan kejayaannya menyumbang pingat emas temasya Sukan SEA yang ke-1,000 buat kontinjen negara meskipun tanpa kehadiran Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Wira Amiruddin Embi.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan yang berusia 17 tahun itu berkata, kilauan emas yang diperoleh menerusi acara qiangshu wanita di bumi Myanmar tempoh hari akan dijadikan pembakar semangat untuk menyinar dalam temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan tahun depan.

"Saya tidak kisah (ketiadaan CDM) dan tidak berkecil hati, janji saya sudah menang emas.

"Sejujurnya, saya terkejut dan gembira memandangkan ini merupakan penampilan sulung saya dalam temasya Sukan SEA.

"Jadi, saya harap dapat mengekalkan prestasi dan berusaha dengan lebih baik pada temasya Sukan Asia tahun depan," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Sebelum ini, 'kehilangan' Amiruddin yang tiba lewat di Myanmar mencetuskan kontroversi biarpun skuad wusyu berjaya melakar sejarah memburu emas ke-1000 kontinjen negara sejak mula menyertai temasya Sukan Sea pada 1959.

Sebaliknya, Amiruddin lebih gemar memikirkan kemampuan kontinjen negara merealisasikan sasaran 40 pingat emas pada temasya kali ini.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi kelmarin juga mengakui pihaknya 'terlepas pandang' berhubung perkara itu apabila memberi alasan tidak tahu bila emas ke-1,000 itu akan diperoleh kontinjen negara kali ini.

Alasan itu jelas mengundang persoalan media memandangkan Kok Chi sendiri sebelum ini mendedahkan peluang skuad wusyu negara yang dilihat berpotensi menyumbang emas ke-1,000.

Pada temasya edisi ke-27 kali ini, skuad wusyu negara berjaya membawa pulang tiga emas, lima perak dan enam gangsa.

Selain Eyin, turut menyumbang emas pada temasya kali ini ialah Diana Bong Siong Lin dan Tai Cheau Xuan masing-masing menerusi acara nanquan wanita dan nandao wanita.

Ketua jurulatih wusyu negara, Yoong Thong Foong pula tidak menolak kemungkinan menghantar sekurang-kurangnya menghantar dua atlet pelapis pada temasya Sukan Asia kelak berdasarkan kecemerlangan mereka sepanjang temasya Sukan SEA tempoh hari.

"Berdasarkan persembahan pemain, saya percaya mereka berhak meraih lebih banyak emas pada temasya kali ini.

"Namun beginilah sukan subjektif, jadi saya tetap gembira apabila kami berjaya merealisasikan sasaran untuk mengutip tiga emas."

RUJUKAN : KOSMO ONLINE 13.12.2013


No comments:

Post a Comment