GANDINGAN Teo Kok Siang (kiri)
dan Goh V Shem melakar kejutan apabila mara ke pusingan separuh akhir acara
beregu lelaki pada Sukan SEA 2013 semalam.
NAY PYI TAW - Kini hanya
tinggal acara beregu yang menjadi harapan kontinjen Malaysia untuk membawa
pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas menerusi acara badminton selepas
acara perseorangan terkandas di suku akhir, semalam.
Selepas Chong Wei Feng
tersingkir seawal pusingan pertama perseorangan lelaki tiga hari lalu, harapan
yang diletakkan di bahu seorang lagi pemain, Iskandar Zulkarnain Zainuddin juga
lebur begitu sahaja.
Iskandar tewas kepada pemain
Indonesia, Prasetyo Wisnu Yuli 10-21, 15-21 dalam masa 38 minit sahaja sekali
gus menepati ramalan ketua jurulatih negara, Rashid Sidek yang sebelum ini lagi
sudah menganggap segalanya sudah berakhir.
Kekalahan Iskandar menyaksikan
Indonesia mempunyai dua wakil di separuh akhir selepas Rumbaka Dionysius Hayom
yang turut meraih kemenangan.
Begitu juga dengan dua pemain
pilihan, Nguyen Tien Minh (Vietnam) dan Tanongsak Saensomboonsuk (Thailand).
Cabaran dalam perseorangan
wanita juga turut berakhir semalam selepas Yang Li Lian juga tewas kepada
pemain Indonesia, Bellaetrix Manuputty di suku akhir.
Sementara itu, tiga gangsa
sudah pun berada dalam tangan skuad badminton negara selepas dua beregu lelaki,
satu beregu wanita dan satu beregu campuran negara berjaya mara ke separuh
akhir.
Gandingan Goh V Shem-Teo Kok
Siang melakukan kejutan dengan menewaskan pilihan kedua dari Thailand, Jongjit
Maneepon-Puangpuapech 23-21, 14-21, 21-16 di suku akhir beregu lelaki, semalam.
Mereka akan bertemu gandingan
Indonesia, Berry Angriawan-Suwardi Karanda di separuh akhir hari ini manakala
satu lagi beregu negara, Lim Khim Wah-Ow Yao Han akan bertemu pilihan utama
juga dari Indonesia, Agung S. Rian-Pratama Angga.
Khim Wah-Yao Han semalam
menewaskan beregu Vietnam, Minh Bao-Nguyen Khang juga dengan permainan tiga set
22-20, 19-21, 21-12 di suku akhir.
Dalam acara beregu wanita pula,
cabaran masih diteruskan gandingan Woon Khei Wei-Vivian Kah di separuh akhir
selepas menewaskan beregu Myanmar, Ya Htoo-Mun Kyu Hlaing 21-8, 21-8 di suku
akhir semalam. Mereka dijadual berdepan pilihan kedua dari Singapura, Yao
Lei-Shinta Mulia hari ini.
Beregu campuran juga
menyaksikan gandingan Lai Pei Jing-Tan Aik Quan turut mara ke separuh akhir
selepas menewaskan beregu Vietnam, Manh Thang Dao-Nhu Thao Pham 21-14, 21-16 di
suku akhir semalam.
Menanti mereka di separuh akhir
adalah sama ada pilihan kedua dari Indonesia, Riky Widianto-Richi Puspita atau
Jongjit Maneepon-Taerattanachai dari Thailand.
RUJUKAN : KOSMO ONLINE
13.12.2013
No comments:
Post a Comment