YANGON - Dua pingat gangsa pada
hari terakhir menjadi penyelamat maruah sukan angkat berat daripada pulang
dengan tangan kosong di Sukan SEA Myanmar ke-27.
Mohd. Faiz Musa yang berjaya
mengangkat jumlah angkatan 308 kilogram (kg), menduduki tempat ketiga dalam
kategori 94kg lelaki sementara Nor Khasida Abdul Halim meraih pingat gangsa
dalam kategori 69kg wanita.
Walaupun masih diulit masalah
kecederaan di bahagian lutut kiri, Faiz mempamer semangat juang yang
mengagumkan bagi meletakkan namanya selaku pemenang pingat.
''Saya bersyukur sangat kerana
boleh melakukan angkatan 173kg bagi clean and jerk, malahan saya mengambil
jalan selamat dengan tidak memulakan angkatan yang lebih berat.
''Strategi saya itu berjaya dan
ia sekurang-kurangnya meletakkan saya berada dalam kalangan tiga peserta
teratas.
''Tumpuan saya kini adalah
untuk mendapatkan tempat beraksi di Sukan Komanwel, tahun hadapan,"
katanya.
Pingat emas dimenangi peserta
Thailand, Sarat Sumpradit yang turut mencatat rekod baru clean and jerk iaitu
194kg, sementara pingat perak diraih oleh Hoa Tran Van dari Vietnam.
Sementara itu, Nor Khasida
meraih pingat gangsa bagi kategori wanita 69kg dengan jumlah angkatan 188kg.
Pingat emas diraih oleh
Boonatee Klkasikit dari Thailand dengan jumlah angkatan 225kg, manakala perak
menjadi milik peserta tuan rumah, Lae Lae Win dengan catatan 206kg.
Atlet negara yang turut
mengambil bahagian ialah Mohd. Hafifi Mansor bagi kategori 69kg, Muhammad Aznil
Bidin (56kg), Constantine Clement (62kg), Azizah Fadzil (53kg), Frenceay Titus
(58kg) dan Elyone Matin (63kg). - UTUSAN
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131217/su_05/Dua-gangsa-ceriakan-angkat-berat#ixzz2ngWC2wUs
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment