Faktor gagal raih sokongan
Melayu tewaskan PKM
ANGGOTA komunis yang menyerah
diri kepada pasukan keselamatan pada 16 Oktober 1958.
FAKTOR kegagalan Parti Komunis
Malaya (PKM) melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu dikenal pasti
kerana kesukaran dan kelemahan parti itu meraih sokongan orang Melayu.
Perkara tersebut dinyatakan
oleh pegawai komunis paling kanan dalam Jawatankuasa Pusat PKM dikenali sebagai
Ah Su * dalam ceramahnya yang turut dihadiri oleh ketua Unit Penggempur Kelima
PKM di Perak, Chong Chor pada Mac 1962.
Dalam fail sulit pengakuan
Chong Chor yang pertama kali didedahkan, PKM berdepan tugas sukar untuk
melancarkan 'perang rakyat' terhadap British disebabkan ketiadaan sokongan kaum
Melayu yang merupakan lebih 50 peratus penduduk Tanah Melayu, dengan majoritinya
tinggal di kawasan pendalaman.
Analisis kekalahan itu
terkandung dalam ceramah Ah Su yang ditujukan kepada anggota-anggota komunis
tegar semasa mereka berundur ke selatan Thailand kesan tindakan berkesan pihak
keselamatan Malaysia ketika itu.
Ah Su menggariskan lima faktor
kegagalan PKM meraih sokongan ramai kaum Melayu iaitu kononnya, orang Melayu
terkongkong dan tertindas di bawah sistem feudal di negeri-negeri Melayu,
mendapati mereka sukar memahami dan menerima konsep komunisme.
Faktor kedua: Orang Melayu
sentiasa dibohongi penjajah British terutama menerusi dasar 'Pecah dan
Perintah'. British mengambil kesempatan ke atas prinsip-prinsip agama Islam
yang merupakan agama orang Melayu bagi menolak doktrin komunisme.
Faktor ketiga: Semasa PKM
melancarkan perang anti-British, orang Melayu memberi sokongan terhadap Tunku
Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama Malaysia) dan kerajaan campuran
pimpinannya.
Faktor keempat: Majoriti kaum
Melayu buta huruf dan pengetahuan mengenai politik adalah cetek. Oleh itu, kaum
Melayu mudah diperdaya oleh kerajaan Tunku Abdul Rahman.
Faktor kelima: Dari sudut
strategik, PKM gagal disebabkan mereka mengenepikan gerakan mempengaruhi kaum
Melayu di kawasan pendalaman, semasa melancarkan perang bersenjata. Maka
apabila PKM melancarkan perang, mereka tidak mendapat sokongan kaum Melayu
sekali gus mengehadkan kawasan operasi PKM.
Menurut Chong Chor, pasukan
pimpinannya yang terdiri daripada lebih 20 anggota komunis, berhimpun di kem
Kampung Jok, Bannang Sata di Yala, selatan Thailand. Di situ, dia bertemu buat
pertama kali dengan Rashid Maidin dan Abdullah CD. Kem tersebut menjadi markas
latihan ideologi komunis.
Chong Chor menganggarkan lebih
100 anggota komunis dari Regimen Kelapan, Ke-10 dan Ke-12 berada di dalam kem
tersebut.
Diistilahkan sebagai Sekolah
Parti untuk menguatkan semula pegangan komunisme di kalangan anggota PKM, kem
tersebut juga berperanan sebagai pusat untuk mereka mengkaji dasar baharu
parti.
Dasar baharu PKM ketika itu
ialah, parti akan meneruskan gerakan bersenjata sebagai wadah utama perjuangan
dalam usaha mencapai kejayaan dalam revolusi membebaskan Tanah Melayu.
Bagi mencapai matlamat
tersebut, PKM telah membatalkan keputusan awal untuk tidak melaksanakan tugas
merekrut anggota di selatan Thailand. Ini adalah kerana dalam usaha membina
semula kekuatan parti, PKM tidak peduli jika tindakan tersebut mencetuskan
kemarahan kerajaan Thailand.
Bagi meluaskan kerja-kerja
merekrut anggota baharu, dasar baharu tersebut secara mendalam menekankan
peranan Unit Min Yuen dan kaedah meluaskan pengaruh PKM di kalangan masyarakat
di selatan Thailand.
Dasar tersebut juga memberi
penekanan kepada usaha melaksanakan pembaharuan ideologi di kalangan pegawai
PKM bagi membentuk kesatuan untuk memulihkan parti.
Menurut Chong Chor, Sekolah
Parti itu juga turut membincangkan dasar membenarkan anggota keluar dari PKM
yang mengakibatkan semangat dan moral rendah di dalam parti.
Anggota-anggota komunis di kem
tersebut turut diberikan ulang kaji mengenai sejarah PKM, latar belakang
gerakan bersenjata, pergerakan komunis dunia dan sejarahnya, perbincangan
mengenai keperluan seorang anggota revolusi komunis dan isu-isu semasa.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131216/re_02/Faktor-gagal-raih-sokongan-Melayu-tewaskan-PKM#ixzz2nh6CNu7y
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment