Ad

Monday, 16 December 2013

Rekod kebangsaan lebur, namun tiada emas

Casier Renee Kelly puas membawa pulang pingat perak dalam baling tukul besi wanita di Stadium Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw semalam.
NAY PYI TAW - Mohd. Iskandar Alwi berjaya memecah rekod kebangsaan, namun itu tidak mencukupi buatnya membawa pulang emas dalam acara lompat bergalah lelaki, sebaliknya dia sekadar berpuas hati meraih perak di Stadium Wunna Theikdi, semalam.

Malah, selain Iskandar, Casier Renee Kelly turut menyelamatkan hari olahraga yang suram apabila memenangi perak dalam acara baling tukul besi wanita.

Kegagalan menokok kilauan emas semalam menyukarkan lagi sasaran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk memburu lima emas di Myanmar.

Biarpun sekadar meraih perak, aksi Iskandar yang hanya membuat penampilan sulung Sukan SEA layak dipuji kerana mencatat rekod kebangsaan dengan lompatan 5.10 meter, memadam rekod lama miliknya sendiri, 5.01m, Mac lalu.

Emas milik atlet Thailand, Kreeta Sintawacheewa dengan lompatan 5.15m, manakala gangsa diraih rakan senegaranya, Sompong Saombankuay(5.00m).

Menurut Iskandar, walaupun tidak berjaya memenuhi sasaran peribadi iaitu merampas emas daripada Thailand, namun dia tetap bersyukur kerana membawa pulang pingat untuk negara dan memecah rekod.

"Pada ketinggian 5.10m saya tidak menyangka boleh melepasinya, kerana saya seperti sudah menyerah kalah tetapi jurulatih (Manshahar Abd. Jalil) memberitahu saya supaya cuba sahaja," kata atlet remaja berusia 19 tahun itu.

Iskandar mengakui, memang sukar untuk menumpaskan juara bertahan namun dia meletakkan sasaran untuk merampas emas pada temasya 2015 di Singapura, selain mencari tempat pada Sukan Komanwel dan Asia tahun depan.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara ini adalah pada 2001 di Kuala Lumpur melalui Teh Weng Chang, yang meraih emas.

Sementara itu, Casier mencatat balingan 53.12m dan ia adalah catatan peribadi terbaiknya, namun tidak berjaya memecah rekod kebangsaan, 58.71m milik Tan Song Hwa, yang juga juara Sukan SEA 2011.

Panwat Gimsrang dari Thailand meraih emas dengan balingan 54.96m dan gangsa milik rakan senegaranya, Mingkamon Koomphon.

Malaysia gagal meraih pingat dalam acara 4x100m lari lelaki apabila kuartet yang dibarisi Eddie Edward, Mohd. Shahmimi Azmi, Mohd. Azhar Md. Ismail dan Harith Azhar Md. Ismail menduduki tempat keempat dengan catatan 41.35s.

Kuartet wanita yang dibarisi Zaidatul Husna Zulkifli, S. Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nurul Faizah Asma Mazlan dibatalkan penyertaan kerana terkeluar pada laluan ketika pemberian baton.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131217/su_07/Rekod-kebangsaan-lebur-namun-tiada-emas#ixzz2ngYsnGGF © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment