NAZARUDDIN Mohd. Shahar berada
di ruang kecil di Muzium Insitu, Jugra yang dipercayai pernah dijadikan tempat
hukuman gantung kepada pesalah dijalankan.
MUZIUM Insitu yang dibangunkan
di atas tapak runtuhan balai polis lama Jugra seumpama pusat sehenti bagi
mereka yang ingin memulakan pengembaraan sejarah di mukim Jugra.
Bagi penulis, bekas rumah
pasung itu adalah tempat pertama yang harus dituju untuk mendapatkan gambaran
keseluruhan mengenai lokasi-lokasi menarik yang ada di sekitar Jugra.
Muzium Insitu Jugra terletak
kira-kira 300 meter dari kaki Bukit Jugra. Antara lokasi menarik yang terletak
berhampiran dengannya adalah setor peluru, tapak perigi lama, makam Diraja,
pejabat daerah lama dan tinggalan istana Sultan Abdul Samad.
Muzium yang dibina oleh Kapten
Harry Charles Syers pada 1878 itu sendiri mempunyai sejarah yang begitu dekat
dengan Jugra. Rumah pasung itu dipercayai merupakan balai polis pertama di
Selangor sebelum institusi polis bertapak di Bukit Aman.
Sebagai pusat perundangan dan
kehakiman, ia juga dipercayai pernah digunakan sebagai penjara bagi menempatkan
pesalah sebelum dibicarakan.
Selain menjadi lokap sementara
kepada pesalah, ada juga yang mempercayai bangunan itu pernah digunakan sebagai
tempat melaksanakan hukuman gantung. Dakwaan itu dibuat berdasarkan kewujudan
sebuah bilik kecil yang misteri bersebelahan dengan gerigi lokap.
Walaupun tidak dibuktikan
secara bertulis, dakwaan itu bukan sesuatu yang mustahil malah jika diambil
kira peranan kompleks perundangan itu, ia adalah tempat yang paling sesuai.
Penduduk Kampung Permatang
Pasir, Nazaruddin Mohd. Shahar, 52, yang juga bekas pengawal keselamatan muzium
itu berkata, berdasarkan pengalaman empat tahun bertugas di situ beliau percaya
bangunan tersebut pernah digunakan sebagai tempat mengantung pesalah.
Dakwaan beliau itu dibuat
berdasarkan bayangan serta gambaran yang dialami beliau dan beberapa orang
rakan setugas semasa sedang berbaring di tingkat atas bangunan berkenaan.
Nazaruddin berkata, dalam
kejadian pada pukul 2 pagi kira-kira tujuh tahun lalu itu, beliau terdengar
perbualan sekumpulan manusia di tingkat bawah sedangkan pada waktu itu semua
pengawal berada di tingkat atas.
"Seperti biasa kami akan
naik ke tingkat atas pada pukul 1 pagi untuk berehat sambil teman rakan setugas
tidur secara bergilir-gilir.
"Kami berada betul-betul
setentang dengan penjara di tingkat bawah. Bahagian bawah memang kosong dan
pintu utama sentiasa berkunci,'' katanya ketika ditemui S2.
Katanya, sejurus selepas
mendengar perbualan beberapa orang lelaki dan hentaman pintu penjara ditutup,
lantai tempat mereka berbaring terasa bergoyang seperti dihenjut dari bawah.
"Bunyi orang bersembang
itu agak kuat macam siang hari cuma tidak jelas apa yang dituturkan mereka.
"Tidak lama kemudian saya
rasa lantai bergoncang dari bawah. Bila reda terdengar pula bunyi dengusan
seperti lembu disembelih,'' katanya.
Nazaruddin berkata, beliau
percaya kejadian yang dialami itu merupakan bayangan kepada kejadian sebenar
yang pernah berlaku di rumah pasung berkenaan.
"Pengalaman mendengar
perbualan sang algojo yang datang melaksanakan hukuman gantung itu masih kekal
dan tidak mungkin dilupakan,'' ujarnya.
Lebih menyakinkan beliau adalah
kerana kejadian yang sama berulang sebanyak tujuh kali sebelum beliau
meninggalkan tugas sebagai pengawal keselamatan di situ kira-kira dua tahun
lalu.
Sebahagian daripada pengalaman
misteri yang pernah dialami Nazaruddin di sekitar Jugra turut dikongsi di laman
blognya www.arashmisteri.blogspot.com.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131123/lk_02/Gambaran-hukuman-gantung-di-Muzium-Insitu#ixzz2oUxaDRmd
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment