MOHD. AIDY KHAIRUNIZAM
KEMASYHURAN Jugra sebagai pusat maritim yang wujud sejak daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka pernah disebut oleh Tun Seri Lanang di dalam buku tulisannya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).
Di dalam karya kesusasteraan itu, kesibukan pelabuhan Jugra yang terletak di kuala Sungai Langat digambarkan menyampai kesibukan pelabuhan Melaka yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Sultan Mansur Shah.
Selain gambaran menjadi pintu masuk utama perdagangan di Selangor, Tun Seri Lanang turut menyebut ketibaan Laksamana Hang Tuah di pelabuhan Jugra selepas keluar berlayar dari Melaka.
Diceritakan kononnya Hang Tuah menghabiskan masa selama dua hari dua malam di Jugra selepas kapalnya yang berlabuh di pelabuhan tiba-tiba karam.
Sama ada benar atau tidak petikan daripada tulisan itu, kisah persinggahan Hang Tuah menjadi sebahagian daripada kisah yang bermain di bibir penduduk apabila menceritakan tentang sejarah Jugra.
Salah satu daripada 'bukti' yang digunakan untuk mengaitkan kisah itu adalah kewujudan kesan tapak kaki pada batu besar berhampiran jeti Batu Hampar yang terletak tidak jauh dari kaki Bukit Jugra.
Jeti Batu Hampar di tebing Sungai Langat itu dipercayai adalah tapak pelabuhan yang dimaksudkan oleh Tun Seri Lanang sebagai pelabuhan Jugra.
Selepas zaman Kesultanan Melayu Melaka, Jugra dikenali sebagai bandar Diraja apabila Sultan Abdul Samad (Sultan Selangor ke-4) memilih kawasan di pinggiran Bukit Jugra sebagai tempat bersemayam. Baginda menjadikan Jugra sebagai pusat pentadbiran Selangor antara 1859 hingga 1898.
Pada masa kini, tinggalan seperti balai polis lama, makam Diraja, pejabat daerah lama, stor peluru, istana lama, Istana Bandar, masjid Sultan Ala'eddin Shah dan tapak perigi lama merupakan sebahagian daripada bukti sejarah yang masih boleh dilawati
Cuma malangnya sebahagian daripada tinggalan itu ada yang sudah musnah dan dalam keadaan terbiar. Hanya menunggu masa untuk menyembah bumi.
Ketua Muzium-Muzium Daerah Wilayah Selatan, Mohd. Aidy Khairunizam Rashid berkata, Jugra pernah menjadi laluan utama pengangkutan bijih timah yang diangkut dari Kajang, Balakong, Hulu Langat dan Semenyih.
"Sepanjang tempoh pemerintahan Sultan Abdul Samad, Jugra menjadi pusat pengutipan cukai bijih timah sebelum dibawa keluar melalui Sungai Langat.
"Berdasarkan bukti-bukti yang ada, kita percaya Jugra pernah memainkan peranan yang penting sebelum pusat pentadbiran kerajaan beralih ke Klang pada 1882,'' katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Selain itu katanya, Jugra semasa di bawah pemerintahan Sultan Abdul Samad dan Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor kelima) pernah menjadi kawasan pertanian utama di Selangor.
"Hasil daripada kemakmuran pemerintahan kedua-dua sultan, Jugra diberi nama timangan sebagai Bandar Temasya.
"Sebelum itu nama lama Jugra adalah Tanjung Kera kerana terdapat banyak kera di kawasan bukitnya,'' kata beliau.
Bagaimanapun kunjungan penulis ke Jugra baru-baru ini mencetuskan satu persoalan. Soalan itu mungkin soalan yang sama pernah berlegar di fikiran mereka yang pernah sampai ke Jugra.
"Tidak ada apa-apa yang luar biasa di sini. Jugra sama sahaja seperti kampung-kampung lain. Mana tinggalan sejarah daripada zaman kegemilangannya,'' itulah soalan yang bermain di fikiran penulis.
Penulis mungkin tersilap namun itulah persepsi orang luar yang pertama kali tiba di Jugra. Segala khazanah sejarah yang ada seakan-akan tersorok. Tiada papan tanda yang menunjukkan tempat itu adalah tempat bersejarah.
Pencarian lokasi-lokasi bersejarah di Jugra terjawab apabila penulis tiba di Muzium Insitu yang terletak di kaki Bukit Jugra. Pertemuan dengan beberapa orang wakil Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) sememangnya banyak membantu.
Jugra sememangnya mempunyai banyak tinggalan sejarah yang menarik untuk disoroti. Artifak dan tapak-tapak arkeologi sejak daripada zaman pemerintahan diraja di situ mempunyai nilai pelancongan yang cukup besar untuk dimajukan.
Cuma berbeza dengan Bukit Malawati di Kuala Selangor, tarikan pelancongan yang dimiliki Jugra masih berada jauh di luar 'radar' pelancongan. Bahkan tidak keterlaluan untuk mengatakan ia masih memerlukan banyak perhatian daripada kerajaan negeri.
Mohd. Aidy berkata, salah satu halangan kepada usaha mempromosikan Jugra yang dihadapi oleh Padat pada masa kini adalah kekurangan papan tanda yang menjadikan mukim itu sepi tanpa tarikan.
"Seharusnya ia diperbanyakkan sepanjang tiga laluan utama iaitu di sekitar Banting, Telok Panglima Garang dan Dengkil,'' ujarnya.
Menurut Mohd. Aidy, permohonan untuk mendapatkan papan tanda sejarah bagi beberapa lokasi penting sudah diketengahkan namun belum mendapat jawapan daripada pihak berkuasa.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131123/lk_01/Sejarah-yang-dilupakan#ixzz2oUv50MSg © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment