BEBERAPA remaja meneliti kubur
askar British termasuk JWW Birch di Bandar Bahru, Kampung Gajah, Perak.
DALAM menyediakan laporan khas
mengenai Dato' Sagor satu nama lokasi yang kerap muncul dalam perbincangan
mahupun tulisan adalah Bandar Bahru.
Bandar Bahru itu merujuk satu
kawasan di tebing Sungai Perak yang pernah menjadi markas tentera British dan
menempatkan pejabat JWW Birch.
Di kawasan itu juga ditanam
mayat Birch yang hanyut selama empat hari selepas dibunuh oleh pahlawan Melayu
pada 2 November 1877.
Kawasan itu dipilih menjadi
markas British kerana kedudukannya yang strategik iaitu berada di tengah laluan
antara Pasir Salak dan Batak Rabit (dekat Teluk Intan) tempat Sultan Perak
bersemayam ketika itu. Sekali gus ia memudahkan British mengawal dan
menguatkuasakan pentadbiran di kawasan Hilir Perak.
Bagaimanapun hasrat S2 untuk
melihat semula tempat itu yang terletak antara kampung Teluk Memali dan Pasir
Panjang tidak mudah kerana diberitahu banyak jalan yang menghubungkan kawasan
itu sudah terputus, dipenuhi semak dan lalang serta bahaya kerana dikatakan
tebing sungai di situ mudah runtuh.
Namun dengan bantuan beberapa
penduduk Kampung Tersusun Teluk Memali, usaha diteruskan.
Selepas melalui jalan kampung,
denai dan jalan kelapa sawit termasuk di tepi Sungai Perak, kami berada di
kawasan yang satu ketika dahulu pernah menjadi tumpuan dunia.
Namun tiada apa lagi yang boleh
dilihat kerana semuanya bertukar menjadi ladang kelapa sawit. Yang ada hanya
empat kubur tentera British termasuk JWW Birch.
Tidak jauh dari kawasan itu
terdapat sebuah masjid lama dipercayai berusia ratusan tahun terbiar kerana
penduduk asal kawasan itu sudah berpindah jauh ke darat berhampiran jalan Teluk
Intan - Kampung Gajah.
Seorang penduduk asal Kampung
Teluk Memali yang hanya mahu dikenali sebagai Yeop Suri, 82, berkata, di
kawasan Bandar Bahru dahulu banyak ditemui meriam, peluru dan minuman keras
askar British.
"Dahulu dari Pulau Besar
sehingga ke Tanjung Penangguk kawasan tersebut meriah. Rumah banyak,
dekat-dekat.
"Lepas jalan dibina,
sedikit demi sedikit orang pindah sampai hilang kampung tersebut," katanya
kepada S2.
Beliau menambah, proses hakisan
semula jadi sungai menyebabkan tebing di kawasan Bandar Bahru semakin mengecil.
"Dahulu tebingnya jauh ke
tengah sungai tetapi proses hakisan semulajadi sungai menyebabkan tebing di
sini semakin mengecil manakala tebing di seberang sana semakin membesar,"
ujarnya yang mempunyai 53 cucu dan lapan cicit.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131221/lk_06/Bandar-Bahru-bukan-lagi-bandar#ixzz2oUq9HEGO
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment