Ad

Friday, 13 December 2013

Harimau Muda mula panas

PENYERANG Harimau Muda, A. Thamil Arasu diasak pertahanan Laos dalam saingan kedua Kumpulan A di Stadium Zeyar Thiri, semalam.
NAY PYI TAW - Jaringan hatrik Ahmad Hazwan Bakri meletakkan Harimau Muda di landasan sempurna untuk memburu kejuaraan hatrik Sukan SEA apabila membenam Laos 4-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan A di Stadium Zeyar Thiri, semalam.

Kini, selepas mengutip enam mata maksimum daripada dua perlawanan, hanya satu kemenangan sahaja perlu dicari Malaysia daripada baki dua saingan kumpulan, iaitu menenang Singapura esok dan Vietnam pada 17 Disember bagi mengesahkan tiket separuh akhir.

Selepas mempamer aksi hambar ketika menundukkan Brunei 2-0 dalam perlawanan pembukaan, Selasa lalu permainan yang dipertontonkan pasukan negara semalam jelas lebih baik, biarpun masih terdapat kelonggaran di bahagian tengah.

Begitupun, kepincangan itu berjaya diatasi selepas pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee melakukan rombakan taktikal pada separuh masa kedua, termasuk membawa masuk bintang tengah, Mohd. Nazmi Faiz Mansor.

Malah, Kim Swee turut melakukan lima pertukaran berbanding perlawanan pembukaan dengan membariskan Mohd. Nasir Basharudin, Nazirul Naim Che Hashim, S. Sivanesan, D. Saarvindran dan Hazwan, yang jelas memberi sedikit impak kepada aksi Harimau Muda.

Hazwan memulakan jaringan hatrik seawal minit keenam, sebelum menambah gol pada minit ke-59 dan 86. Satu lagi jaringan Malaysia diperoleh menerusi gol sendiri pemain lawan, Ketsada Souksavanh pada minit ke-80, manakala gol saguhati Laos yang menjadi jaringan penyamaan disumbangkan oleh gol sendiri K. Reuben pada minit ke-40.

"Walaupun diasak bertalu-talu, bahagian pertahanan mampu menyerap tekanan dengan penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi turut bertindak cemerlang.

"Selepas separuh masa pertama, saya memasukkan Nazmi untuk menghidupkan jentera tengah dan ia ternyata membuka ruang kami mendapatkan tiga gol.

"Mungkin aksi pemain tidak begitu lancar dan kurang keserasian, tetapi saya lebih rela menang walaupun daripada segi permainan tidak begitu menarik, " kata Kim Swee.

Sekali pun bermula dengan sedikit mencemaskan pada babak pertama apabila Laos banyak kali mengancam pintu gol negara, namun Harimau Muda berjaya menunjukkan kematangan tinggi untuk bangkit pada 45 minit seterusnya.

Hazwan tidak menunggu lama untuk melepaskan peledak pada minit keenam hasil bola muntah selepas percubaan pertamanya mengenai pertahanan Laos melalui rembatan yang menarik.

Namun, aksi longlai kembali ditampilkan oleh skuad negara dan Laos bijak mengambil kesempatan itu apabila Reuben tertanduk bola ke dalam gol sendiri melalui hantaran silang Souk Aphone Vongchiengkham pada minit ke-40.

Percaturan Kim Swee memasukkan Nazmi jelas mengubah corak permainan negara apabila dia menjadi arkitek kepada corak serangan Malaysia

Gol kedua yang dicari oleh Harimau Muda akhirnya menjelma pada minit ke-59 melalui hantaran Mohd. Irfan Fazail yang disempurnakan Hazwan dan semangat juang Laos bagaikan direntap pada minit ke-80 apabila Ketsada menyumbat gol ke gawang sendiri ketika menanduk keluar hantaran silang D. Saarvindran.

Hazwan melengkapkan hatriknya pada minit ke-86 melalui umpanan cantik daripada Nazmi. - UTUSAN

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131214/su_02/Harimau-Muda-mula-panas#ixzz2nOeBoK6a © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment