Ad

Friday, 13 December 2013

Malaysia kembali garang

Atlet karate berpasukan lelaki negara mempamerkan pertarungan hebat untuk memungut pingat emas dalam disiplin Kata di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw, semalam.
NAY PYI TAW - Semalam merupakan hari paling cemerlang buat kontinjen Sukan SEA Malaysia di Myanmar selepas tiga hari temasya dibuka secara rasmi, apabila lima pingat emas berjaya dituai dengan karate menjadi penyumbang terbesar merangkul dua emas.

Tiga lagi emas daripada renang, pencak silat dan menembak. Selain menghadiahkan dua emas, karate turut cemerlang menokok satu perak dan dua gangsa.

Sementara itu, pasukan bola sepak negara terus berada di landasan yang tepat untuk memburu kejuaraan hatrik Sukan SEA apabila mengalahkan Laos 4-1 pada aksi kedua Kumpulan A.

Dalam saingan karate, Malaysia jelas sukar dicabar dalam acara kata individu dan berpasukan lelaki, terutama Lim Chee Wei yang tampil dengan persembahan mantap untuk menjadi penyumbang emas negara.

Karate hampir mendapatkan emas ketiga melalui G. Theebaan, namun juara kebangsaan itu, yang hanya disenaraikan dalam skuad ke Sukan SEA, dua bulan lalu tewas tipis 0-1 kepada peserta handalan Indonesia, yang juga juara lima kali, Umar Syarief dalam acara kumite atas 84 kilogram.

Sementara itu, perenang remaja berusia 18 tahun, Christina Loh menyelamatkan maruah negara di kolam renang apabila menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya memenangi pingat emas dalam acara 100 meter kuak lentang wanita.

Christina melaksanakan tugas dengan sempurna, pada ketika perenang senior, Khoo Chai Lin yang disandarkan harapan untuk memenangi 400m gaya bebas wanita sekadar menamatkan cabaran di tangga kelima.

Dalam acara menembak, Eddy Chew menghadiahkan emas pertama di Lapang Sasar Menembak North Dagon apabila memenangi acara 50m free pistol lelaki dengan catatan 186.4 mata. Gangsa menjadi milik seorang lagi penembak negara, Jonathan Wong.

Satu lagi emas hadir melalui sukan pencak silat apabila Nur Syazreen A. Malik dan Nur Hamizah Abdul Hassan dalam acara ganda putri mengejutkan peserta Vietnam yang dianggap pilihan utama, namun kekalahan mengejut juara Sukan SEA dua kali, Mohd. Fauzi Khalid merencatkan sedikit kegembiraan.

Dalam saingan badminton, beregu wanita, Woon Khe Wei-Vivian Hoo menyelamatkan maruah negara apabila menjadi wakil tunggal melangkah ke perlawanan akhir selepas cabaran dua beregu lelaki, Lim Khim Wah-Ow Yao Han dan Goh VShem-Teo Kok Siang berakhir di separuh akhir.

Sepak takraw pula meneruskan prestasi buruk mereka apabila kalah 1-2 kepada Indonesia dalam saingan terakhir acara berpasukan, menjadikan mereka gagal mencapai sebarang kemenangan selepas sebelum ini turut tumpas kepada Thailand dan Myanmar.

Di Stadium Tertutup Zeyar Thiri, skuad futsal lelaki gagal mendapatkan kemenangan yang dimahukan apabila kalah 4-5 kepada Indonesia dalam Kumpulan A dan perlu bergantung kepada keputusan Myanmar menentang Indonesia untuk layak ke separuh akhir.

Peluang pasukan bola keranjang lelaki untuk memburu pingat emas masih ada selepas tidak berdepan masalah mengalahkan Myanmar 69-42, manakala pasukan wanita menang 81-48 ke atas Indonesia.

Kecemerlangan pasukan endurance tidak dapat diteruskan oleh pasukan ekuestrian negara dalam acara dressage apabila hanya berada di tempat keempat di Pusat Ekuestrian Kebangsaan Wunna Theikdi.

Snuker memberikan kilauan satu pingat gangsa sahaja apabila Thor Chuan Leong-Moh Keen Hoo dalam acara snuker beregu (15 Balls Red).

Sasaran Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), untuk mendapatkan dua pingat emas tidak kesampaian apabila hanya G. Ramkumar dalam acara 69kg layak ke pertarungan akhir. - UTUSAN

atlet karate berpasukan lelaki negara mempamerkan pertarungan hebat untuk memungut pingat emas dalam disiplin Kata di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw, semalam.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131214/su_01/Malaysia-kembali-garang#ixzz2nOgqiKhV

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment