Ad

Friday, 13 December 2013

Hazwan tampil dengan hatrik

HAZWAN (tiga dari kanan) tampil cemerlang untuk membantu Harimau Muda membelasah Laos 4-1 pada aksi kedua acara bola sepak Sukan SEA 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar semalam.

NAY PYI TAW - Penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri meledakkan hatrik untuk membantu Harimau Muda membelasah Loas 4-1 dalam acara bola sepak Sukan SEA 2013 di Stadium Zeyyer Thiri semalam.

Ahmad Hazwan, 22, yang tidak diturunkan ketika Harimau Muda mencatat kemenangan 2-0 ke atas Brunei pada aksi pertama Kumpulan A, Selasa lalu membalas kepercayaan yang diberikan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Kemenangan itu meletakkan skuad negara di landasan tepat untuk mara ke separuh akhir, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Indonesia dua tahun lalu.

"Para pemain beraksi lebih baik pada babak kedua. Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah kami berjaya mengutip tiga mata penuh.

"Selepas menjaringkan gol pertama, pemain-pemain sedikit leka dan gol penyamaan hasil jaringan sendiri menyebabkan pemain negara berada dalam situasi sedikit tertekan.

"Namun, keadaan kembali baik dan mengikut perancangan pada babak kedua.

"Sistem penggiliran pemain memberikan kesan yang positif dan ini adalah satu perlawanan yang baik," kata Kim Swee.

Kim Swee berkata, Ahmad Hazwan memiliki kelebihan tersendiri terutamanya tidak mempersia-siakan peluang yang terhidang di depan mata.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, semua pemain perlu bersedia untuk beraksi kerana kami mempunyai banyak perlawanan. Kami mahu menurunkan pemain yang masih segar. Dia (Ahmad Hazwan) beraksi cemerlang pada perlawanan ini dan saya perlu memikirkan semula sistem penggiliran ini," katanya.

Pada perlawanan tersebut, Kim Swee mengotakan janjinya untuk melakukan sedikit perubahan taktikal dengan menyenaraikan lima muka baharu termasuk Ahmad Hazwan berbanding pada aksi menentang Brunei lalu.

Ahmad Hazwan meletakkan Harimau Muda di depan seawal minit keenam menerusi satu rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Laos, Seng Athit Somvang.

Bagaimanapun, kelekaan anak-anak buah Kim Swee dihukum dengan gol penyamaan Laos.

Pemain pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), K. Reuben tertanduk masuk bola ke gawang sendiri hasil sepakan percuma Laos yang diambil Sauk Aphone Vongchiengkham pada minit ke-40.

Aksi pada babak kedua lebih rancak terutamanya selepas Kim Swee membawa masuk arkitek muda PKNS FC, Muhammad Nazmi Faiz Mansor bagi menggantikan S. Shanmugam.

Ahmad Hazwan kembali meletakkan Harimau Muda di depan pada minit ke-59 sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-87, manakala satu lagi gol diperoleh menerusi jaringan sendiri pemain Laos, Ketsada Souksavanh pada minit ke-79.

Harimau Muda yang menewaskan Brunei 2-0 pada aksi pembukaan Selasa lalu akan bertemu Singapura esok sebelum menghadapi perlawanan terakhir kumpulan menentang Vietnam (17 Disember).

RUJUKAN: KOSMO ONLINE 14.12.13

No comments:

Post a Comment