Ad

Tuesday, 17 December 2013

Harimau Muda singkir Vietnam

BARISAN pemain Harimau Muda melambai tangan ke arah para penyokong selepas berjaya menewaskan Vietnam 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Zeyyer Thiri semalam.

NAY PYI TAW, Myanmar - "Bukan menang nasib tetapi penjaga gol dan pemain pertahanan kami beraksi dengan baik."

Itu reaksi pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee (gambar kecil) selepas anak-anak buahnya berjaya menewaskan Vietnam 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Zeyyer Thiri semalam.

Harimau Muda muncul juara kumpulan selepas mengumpul 10 mata diikuti Singapura di tempat kedua dengan lapan mata, manakala Vietnam di kedudukan ketiga (tujuh mata).

Kemenangan itu sudah cukup untuk melayakkan Harimau Muda ke separuh akhir, sekali gus mengatur pertemuan dengan Indonesia bagi mengulangi aksi final Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia.

Pada aksi semalam, gol yang dicari-cari Harimau Muda hadir pada minit ke-81 menerusi jaringan Ashri Chuhu sebelum D. Saarvindran menyumbat gol kedua pada minit ke-89.

Gol sagu hati Vietnam dijaringkan pemain gantian, Mac Hong Quen pada masa kecederaan.

"Saya berasa gembira kerana berjaya melayakkan diri ke separuh akhir.

"Meskipun Vietnam menggunakan corak permainan pantas dan sangat berbahaya dalam usaha memburu gol, pemain-pemain kami masih mampu bermain dengan baik dan mengikut strategi yang telah direncanakan.

"Kekurangan kami hanya tidak dapat menjaringkan gol awal tetapi penjaga gol dan pemain pertahanan kami bermain dengan begitu baik sekali," kata Kim Swee.

Bagaimanapun, Kim Swee tanpa berselindung memuji persembahan pemain-pemainya yang tampil dengan aksi yang konsisten terutama penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi Roslan.

"Tidak hanya penjaga gol tetapi semua pemain-pemain saya bermain dengan konsisten sepanjang empat perlawanan lalu. Sukar untuk saya beritahu posisi mana yang mempunyai kelemahan yang ketara," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai kritikan yang dilemparkan kepada skuad Harimau Muda sebelum ini, Kim Swee berkata, beliau menganggap semua laporan negatif itu sebagai pembakar semangat.

Katanya, tanpa kehadiran tujuh pemain utama, sukar untuk beliau merencana strategi ampuh bagi menghadapi temasya kali ini, sekali gus mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut.

Sementara itu, jurulatih Vietnam, Hoang Van Phuc memohon maaf kepada semua rakyat di negara itu selepas mereka gagal mara ke final.

Van Phuc berkata, beliau meletakkan sasaran utuk mara ke final dan akan meletak jawatan berikutan kegagalan itu.

Thailand mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B, manakala Indonesia layak selepas menewaskan Myanmar 1-0.
RUJUKAN : KOSMO ONLINE 18.12.13


No comments:

Post a Comment