Ad

Tuesday, 17 December 2013

Harimau jumpa Garuda

NAY PYI TAW - Harimau Muda membuktikan status mereka sebagai juara bertahan Sukan SEA apabila mencalar keegoan Vietnam dengan kemenangan 2-1 di Stadium Zeyar Thiri pada aksi terakhir Kumpulan A, sekali gus mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Kemenangan berharga itu jelas tidak dicapai dengan mudah, apabila terpaksa bermandi keringat sepanjang 80 minit menahan asakan menggila Vietnam sebelum jaringan pemain sayap kiri, Ashri Chucu pada minit ke-82 berjaya membunuh api perjuangan lawan.

D. Saarvindran menggandakan kelebihan buat pasukan negara pada minit ke-89 dan Vietnam yang tidak berputus asa akhirnya mendapatkan gol sagu hati pada minit ke-93 melalui Mac Hong Quan namun jaringan itu sudah tidak memberikan sebarang makna.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee, yang muncul juara kumpulan dengan 10 mata akan berdepan musuh tradisi dan naib juara Kumpulan B, Indonesia esok. Ini adalah ulangan final Sukan SEA 2011.

Satu lagi separuh akhir pula menemukan juara Kumpulan A, Thailand dengan Singapura.

Penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi wajat diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan selepas berulang kali menyelamatkan percubaan berbahaya Vietnam, terutama menerusi Nguyen Van Quyet dan Le Van Thang.

Pasukan negara jelas menggunakan taktik serangan balas bagi mendapatkan gol dengan Vietnam yang terdesak bagi mencari kemenangan melancarkan serangan sejak awal perlawanan, namun kekentalan barisan pertahanan diketuai Mohd. Fadhli Shas wajar dipuji.

Sejak wisel permulaan ditiupkan, pemain negara terpaksa lebih kerap bertahan di kandang sendiri dan berhempas pulas memastikan gawang tidak dibocori selepas Vietnam bertali arus melancarkan serangan.

Masuk ke minit ke-65, para pemain Vietnam seperti sudah keletihan apabila banyak serangan mereka mampu dipatahkan dan kehadiran Mohd. Nazmi Faiz yang masuk selaku pemain gantian mengubah segalanya.

Hasil serangan balas, Nazmi membuka ruang kepada Saarvindran yang berjaya melakukan satu hantaran silang menarik yang pada mulanya mahu dituju kepada A. Thamil Arasu namun bola itu hadir tepat kepada Ashri.

Pemain yang berasal dari Sarawak itu tidak mensia-siakan kesempatan terhidang dengan melepaskan rembatan leret yang membuatkan Buu Ngoc tidak mampu berbuat apa-apa, gol itu ternyata memberi satu kelegaan kepada Harimau Muda.

Ruang yang kosong di bahagian pertahanan ekoran Vietnam yang terdesak mendapatkan dua gol membuka peluang kepada Saarvindran yang penuh bergaya memperdayakan pertahanan Vietnam, sebelum tenang meletakkan Malaysia dengan gol kedua, satu minit sebelum perlawanan memasuki masa kecederaan.

Izham yang ditemui selepas perlawanan, mengakui dia sudah menjangka Vietnam akan menjadi lawan yang sukar tetapi dia bersyukur kerana dapat menampilkan salah satu aksi terbaiknya di Sukan SEA pada kali ini.

''Walaupun Vietnam mengasak kami sepanjang perlawanan, saya tetap berasa tenang dan tidak takut, memang gembira kerana membantu pasukan layak ke separuh akhir.

''Semua pemain mengikut apa yang direncanakan jurulatih dan kami memang layak untuk menang dalam perlawanan ini.

''Satu cabaran buat kami kerana terpaksa melalui perlawanan demi perlawanan hanya selang satu hari, penat memang penat namun misi mempertahankan pingat emas paling penting buat kami, " katanya. - UTUSAN

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131218/su_03/Harimau-jumpa-Garuda#ixzz2nmEXVEzf © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment